Pemandu mabuk rempuh palang keselamatan Istana Negara Seorang pemandu mabuk ditahan selepas merempuh palang keselamatan di Pintu 2 Istana Negara di sini, awal pagi tadi
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu mabuk ditahan selepas merempuh palang keselamatan di Pintu 2 Istana Negara di sini, awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata kejadian jam 3.30 pagi ketika lelaki berusia 21 tahun itu memandu Toyota Vios dari arah Bukit Damansara.
"Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu. Kemalangan menyebabkan kerosakan pada bahagian depan kereta dan bollard pole serta barrier gate," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zamzuri berkata, polis turut mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), merakam percakapan dan menjalankan ujian pernafasan pemandu dalam siasatan kejadian itu.
"Ujian mendapati kandungan alkohol dalam badan pemandu ialah 166 miligram per 100 mililiter darah, iaitu melebihi had dibenarkan," katanya.
Beliau berkata Pejabat Timbalan Pendakwa Raya mengarahkan pemandu itu dituduh mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pagi ini.
|