CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
View: 2293|Reply: 0

[Perlis] Warga emas mengamuk, cederakan orang, rosakkan harta benda didenda RM7,000

[Copy link]
Post time 21-1-2026 02:43 PM | Show all posts |Read mode
Warga emas mengamuk, cederakan orang, rosakkan harta benda didenda RM7,000

Oleh Aizat Sharif - Januari 21, 2026 @ 2:31pm





Tertuduh, Heng Ah Joo (dua dari kiri) dibawa masuk ke lokap Kompleks Mahkamah Kangar sambil diiringi peguam, Zuhair Mohd Zakuan (kiri). - Foto NSTP/Aizat Sharif



KANGAR: Seorang lelaki warga emas yang tular di media sosial selepas mengamuk di sebuah kedai makan dan kedai menjual alat perkakasan rumah sekitar Pauh, Arau dan Kuala Perlis minggu lalu didenda RM7,000 di Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mencederakan orang awam dan khianat.

Tertuduh, Heng Ah Joo, 60, mengangguk faham dan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Natasha Rizal.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Ah Joo didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Tan Li Bin, 35, dengan menggunakan kaki besi sebagai senjata di Taman Pauh Indah I, Arau, pada jam 5.24 petang, 13 Januari lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan merosakkan sebuah komputer jenis Samsung dan almari kaca milik Tan Ah Fong, 65, sehingga menyebabkan kerugian dianggarkan RM3,000 di lokasi sama seperti pertuduhan pertama jam 5.24 petang, hari yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga, Ah Joo didakwa menyebabkan kecederaan ke atas Kam Siang Yih, 44, dengan menggunakan sebilah pisau di Kedai Makan Lai Fa Chai 88, Jalan Panggung Wayang, Kuala Perlis, pada jam 3.45 petang pada hari yang sama seperti pertuduhan pertama dan kedua.

Bagi pertuduhan pertama dan ketiga, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Untuk pertuduhan kedua pula, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwaan, Inspektor S Mageswaran manakala tertuduh diwakili peguam, Zuhair Mohd Zakuan dan Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian.

Ketika prosiding, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh atas kesalahan dilakukan.

Bagaimanapun, pihak pembelaan merayu hukuman diringankan dengan alasan tertuduh melakukan kesalahan kali pertama selain menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi serta tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Nurul Natasha kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,500 atau penjara 10 bulan bagi setiap pertuduhan pertama dan ketiga.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didenda RM2,000 atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda.

Tertuduh kemudian membayar wang jaminan berkenaan yang diwakili ahli keluarganya.

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2026/01/1499518/warga-emas-mengamuk-cederakan-orang-rosakkan-harta-benda-didenda-rm7000





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-1-2026 12:11 PM GMT+8 , Processed in 0.523661 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list