Iskandar Puteri: Seorang lelaki ditahan selepas menumbuk dan membaling rim motosikal terhadap anggota polis yang bertugas di Balai Polis Mutiara Rini di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada 3.40 petang, dengan suspek berusia 22 tahun didakwa datang ke pusat kawalan di balai dalam keadaan agresif.
Katanya, suspek didakwa membaling rim motosikal dan menumbuk seorang anggota yang bertugas, sebelum berjaya ditangkap selepas berlaku pergelutan dengan pihak polis.
"Akibat kejadian, anggota yang diserang mengalami kecederaan lebam di mata kanan dan bahu serta bengkak di bahagian kaki kiri," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk pemeriksaan lanjut.
Katanya, polis turut merampas beg silang yang mengandungi sebilah pisau dan satu rim motosikal.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pusat kawalan daerah Iskandar Puteri 07-5113622 atau hotline 07-5114486.
|