Batu Pahat: Seorang suri rumah berputih mata apabila kerugian lebih RM230,000 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud yang menawarkan pulang berlipat ganda.
Mangsa berusia 35 tahun yang juga warga China mendakwa tertarik dengan pelaburan terbabit melalui individu tidak dikenali pada 27 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa berurusan dengan individu terbabit melalui aplikasi WhatsApp.
Menurut Shahrulanuar, suspek menawarkan mangsa menyertai pelaburan itu dan dijanjikan keuntungan lumayan.
"Antara 14 Disember tahun lalu dan sehingga Khamis lalu, mangsa yang tertarik dengan pelaburan itu memasukkan wang ke dalam lima akaun secara berperingkat berjumlah RM239,000.
"Selepas melihat keuntungan diterima dalam aplikasi pelaburan berjumlah lebih RM663,000, mangsa kemudiannya ingin mengeluarkan wang terbabit.
"Namun mangsa diminta membuat pembayaran seterusnya bagi mengeluarkan wang itu. Mangsa tidak melayan arahan itu malah tidak mendapat pulang dijanjikan," katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, mangsa mula berasa tertipu akhirnya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
|