|
|
BERMULA sebagai trend minuman yang mencuri perhatian, kini strawberi matcha melangkah lebih jauh merentasi dunia fesyen.
Gabungan hijau lembut dan merah jambu itu diramal menjadi pilihan warna utama busana Aidilfitri 2026 terutama bagi wanita.
Pereka fesyen dan pengasas bersama jenama Thalia, Muhd. Firdaus Ahmad Kamal berkata, pemilihan warna raya tahun ini banyak dipengaruhi oleh perubahan gaya hidup moden.
Di platform seperti TikTok dan Lemon8 Malaysia, gabungan rona ini sering dikaitkan dengan strawberry matcha girl aesthetic, selari dengan trend clean girl atau soft girl.
Katanya, matcha membawa elemen kesihatan dan kesejahteraan, manakala strawberi memberi sentuhan feminin dan manis.
“Warna ini bukan sekadar untuk cantik, tetapi memudahkan, menyatukan dan mencerminkan cara seseorang menikmati Syawal.
“Walaupun tampak lembut dan feminin, strawberi matcha tetap sesuai digayakan oleh pelbagai tona kulit, asalkan rona yang dipilih tepat.
“Contohnya, merah jambu lembut atau hijau matcha semula jadi lebih menawan berbanding rona yang terlalu cerah,” katanya kepada Seri.
Kata Muhd. Firdaus, penampilan si pemakai makin berseri dengan pemilihan fabrik, tekstur dan aksesori sepadan.
Katanya, dunia fesyen Aidilfitri kini bukan lagi tentang warna semata-mata, tetapi bagaimana warna itu diterjemahkan melalui potongan, material dan penggayaan.
Biru teal pilihan sodondon keluarga
Selain strawberi matcha, satu lagi warna yang disebut-sebut bakal memeriahkan Syawal tahun ini ialah biru teal atau biru kehijauan.
Warna ini menjadi pilihan kerana sifatnya yang praktikal dan mudah digayakan, terutama untuk busana sodondon keluarga.
Ia sekali gus memudahkan persiapan raya dan menyokong suasana kebersamaan apabila semua orang boleh tampil serasi tanpa kelihatan dibuat-buat.
Menariknya, warna ini juga sesuai untuk semua tona kulit sama ada cerah, sederhana mahupun sawo matang.
“Biru teal merupakan warna yang universal kerana tidak terlalu ‘keras’ atau mematikan tona kulit.
“Tidak hairanlah, ia sering menjadi pilihan untuk sedondon keluarga, kerana senang disesuaikan untuk pelbagai individu dalam satu tema sama,” katanya.
Ia jelas dilihat dalam pratonton koleksi raya 2026 di hab fesyen utama seperti KWC Fashion Wholesale (KWC) yang menampilkan teal sebagai warna utama.
Dalam industri fesyen pula, ia sering dianggap sebagai neutral mewah kerana sesuai untuk pelbagai gaya baju Melayu dan kekal relevan selepas musim raya.
Kebaya kekal diminati
Raya 2026 menjadi tahun kedua kebangkitan semula kebaya termasuk kebaya Kota Bharu pendek dengan panel tengah atau lidah baju dan pelbagai variasi moden yang lebih kemas serta berstruktur.
Muhd. Firdaus berkata, banyak jenama tempatan yang memilih kebaya kerana ia memberikan bentuk dan identiti jelas.
Malah, ia mudah disesuaikan dengan gaya tradisional atau moden dan dalam masa sama memberikan penampilan yang lebih siap walaupun rekaannya ringkas.
Itu sebabnya kebaya terus muncul dalam koleksi raya oleh pelbagai jenama tempatan, termasuk Rico Rinaldi, Carlanisa dan Thalia.
https://www.utusan.com.my/seri/2026/01/strawberi-matcha-ungguli-tema-aidilfitri-2026/ |
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|