Norris juara dunia F1, tamatkan dominasi Verstappen
Disember 7, 2025 @ 10:50pm

Norris muncul juara dunia F1 buat kali pertama. Foto REUTERS
ABU DHABI: Lando Norris menutup musim Formula Satu (F1) 2025 dengan penuh gemilang apabila muncul juara dunia buat kali pertama, sekali gus menamatkan dominasi Max Verstappen yang memegang gelaran itu selama empat tahun berturut-turut.
Pemandu McLaren itu menamatkan perlumbaan Grand Prix Abu Dhabi, hari ini di tempat ketiga tetapi ia sudah cukup untuk menobatkan dirinya selaku juara dunia musim ini.
Verstappen, yang memenangi lapan perlumbaan musim ini, menamatkan perlumbaan terakhir sebagai juara dengan rakan sepasukan Norris, Oscar Piastri, di tempat kedua.
Norris yang bergelar juara dunia F1 ke-11 dari Britain, mengakhiri musim dengan 423 mata, mengatasi Verstappen (421 mata) dan Piastri (410 mata) dalam perebutan gelaran yang paling sengit sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
McLaren yang merangkul kejuaraan pengeluar pada Oktober lalu, memenangi kedua-dua gelaran dalam musim yang sama buat kali pertama sejak 1998. - REUTERS
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2025/12/1482055/norris-juara-dunia-f1-tamatkan-dominasi-verstappen
|