Laungan amaran Verstappen selepas raih petak utama
Reuters

VERSTAPPEN mula petak pertama, Norris kedua di GP Abu Dhabi. -FOTO AFP
Abu Dhabi: Max Verstappen mempamerkan kelas tersendiri apabila merangkul petak utama Grand Prix Abu Dhabi, perlumbaan terakhir yang bakal menentukan juara dunia Formula Satu (F1) musim ini.
Pelumba Red Bull itu mengatasi pendahulu kejuaraan dari McLaren, Lando Norris, yang bakal bermula di petak kedua, manakala rakan sepasukan Norris, Oscar Piastri, muncul ketiga terpantas.
Red Bull menggunakan strategi pintar apabila memberikan Verstappen bantuan aerodinamik di belakang rakan sepasukannya, Yuki Tsunoda, yang akan bermula di petak ke-10 sekali gus membantu juara dunia empat kali itu mencatat masa 0.201 saat lebih pantas daripada Norris . Norris ketika ini mendahului Verstappen dengan 12 mata, manakala Piastri berada empat mata di belakang rakan sepasukannya itu.
Situasi itu meletakkan Norris dalam kedudukan cerah untuk dinobatkan juara dunia buat kali pertama sekiranya dia berjaya menamatkan perlumbaan pada kedudukan podium di Litar Yas Marina malam esok.
Disiarkan pada: Disember 7, 2025 @ 12:04am
https://www.hmetro.com.my/arena/permotoran/2025/12/1296827/laungan-amaran-verstappen-selepas-raih-petak-utama
|