
GENEVA: Mekanisme Penyiasatan Bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Myanmar (IIMM) pada Rabu memberi amaran bahawa ia menerima peningkatan jumlah laporan mengenai jenayah antarabangsa serius yang berlaku menjelang pilihan raya yang dirancang oleh pihak berkuasa tentera negara itu pada 28 Dis, lapor Anadolu Ajansi.
“Mengadakan pilihan raya yang tidak bebas dan adil, atau yang melanggar perlembagaan negara, tidak merupakan jenayah di bawah mandat Mekanisme ini, yang terhad kepada jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan dan genosid.
“Bagaimanapun, Mekanisme ini telah menerima laporan membimbangkan mengenai tindakan dalam konteks pilihan raya yang mungkin berjumlah penindasan dan penyebaran keganasan dalam kalangan penduduk awam sebagai jenayah terhadap kemanusiaan,” kata Nicholas Koumjian, Ketua IIMM, dalam satu kenyataan.
IIMM berkata pihak berkuasa tentera telah menggubal undang-undang pada Julai 2025 iaitu undang-undang baharu itu menjadikan kritikan terhadap pilihan raya sebagai satu kesalahan dengan hukuman sehingga 20 tahun penjara dan hukuman mati.
Mekanisme itu turut mendokumentasikan penahanan ramai individu, termasuk kanak-kanak, atas kegiatan seperti mengkritik pilihan raya secara dalam talian atau mengedar risalah antipilihan raya.
IIMM kini mengumpulkan bukti berkaitan penahanan tanpa asas undang-undang atau tanpa proses sewajarnya, serta penahanan yang berlaku selepas itu.
Ia juga menyiasat laporan mengenai peningkatan serangan udara ke atas kampung-kampung awam ketika tentera cuba merampas semula wilayah daripada kumpulan bersenjata dan memperluaskan kawasan yang pengundian boleh diadakan.
Koumjian menegaskan bahawa menyasarkan orang awam adalah pelanggaran undang-undang peperangan.
Beliau berkata serangan udara rambang di kawasan yang dihuni orang awam, serta serangan terhadap calon politik atau individu yang terlibat dalam proses pilihan raya seperti pengiraan undi, boleh dianggap sebagai jenayah perang atau jenayah terhadap kemanusiaan.
“Kami sedang mengumpulkan bukti dengan teliti agar pelaku dapat dibawa ke muka pengadilan,” tambah beliau. — Bernama
|