The Reds tersungkur di Anfield
REUTERS - November 23, 2025 @ 1:14am

Reaksi penyerang Liverpool, Mohamed Salah selepas Forest menjaringkan gol ketiga di Anfield. Foto: AFP
LIVERPOOL: Nottingham Forest mencetus kejutan besar di Anfield apabila menundukkan juara bertahan, Liverpool 3-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) sekali gus memberi tamparan hebat kepada misi kejuaraan The Reds.
Kemenangan itu turut menandakan kejayaan Forest meraih kemenangan berturut-turut di gelanggang keramat Liverpool buat kali pertama dalam tempoh 62 tahun.
Jaringan Murillo, Nicolo Savona dan Morgan Gibbs-White sudah cukup untuk memastikan pasukan bimbingan Arne Slot mengalami kekalahan keenam dalam tujuh aksi liga terakhir, satu rentak buruk yang menyaksikan Liverpool jatuh ke tangga ke-11 liga dengan 18 mata, lapan mata di belakang pendahulu Arsenal yang akan menanti Tottenham, malam esok.
Forest dalam pada itu, berada di kedudukan ke-16.
Aksi hambar pertahanan Liverpool dihukum pada minit ke-33 apabila Murillo menyudahkan situasi sepakan penjuru selepas tuan rumah gagal mengeluarkan bola.
Liverpool mempertikaikan kedudukan Dan Ndoye yang didakwa menghalang pandangan Alisson, namun status gol itu kekal.
Forest menggandakan kedudukan sebaik babak kedua bersambung apabila Neco Williams melakukan lorongan ke belakang untuk disudahkan Savona yang merembat masuk menewaskan Alisson.
Kemenangan bergaya Forest dimuktamadkan pada minit ke-78.
Alisson pada mulanya melakukan aksi menyelamat cemerlang bagi menafikan percubaan Omari Hutchinson namun bola muntah itu disambar Gibbs-White yang melepaskan rembatan tepat dari tengah kotak penalti untuk jaringan ketiga Forest.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2025/11/1475190/reds-tersungkur-di-anfield
|