Susulan letupan kereta di India, 27 lagi cedera

Pegawai polis memeriksa kenderaan yang musnah selepas serangan bom nekad di luar mahkamah daerah di Islamabad semalam. — Gambar AFP
ISLAMABAD: Satu serangan bom nekad di luar bangunan mahkamah daerah di ibu negara Pakistan, Islamabad, telah meragut sekurang-kurangnya 12 nyawa dan mencederakan 27 yang lain semalam, menurut menteri dalam negeri.
Serangan pertama seumpamanya dalam beberapa tahun itu mendorong orang melarikan diri dalam keadaan panik di kawasan yang turut menempatkan beberapa pejabat kerajaan.
“Satu serangan bunuh diri telah dilakukan,” kata Naqvi kepada wartawan.
“Setakat ini, 12 orang telah terkorban dan sekitar 27 yang lain cedera.”
Seorang wartawan AFP melihat pasukan separa tentera mengawal kawasan di mana menurut menteri bahawa penyerang dipercayai meletupkan bahan letupan berhampiran sebuah kenderaan polis.
“Kami sedang cuba mengenal pasti siapa penyerang itu dan dari mana asalnya,” tambah Naqvi.
Tiada pihak segera mengaku bertanggungjawab, namun Perdana Menteri Shehbaz Sharif menuding jari kepada “proksi pengganas yang disokong oleh India”, musuh lama Pakistan, tanpa mengemukakan bukti.
New Delhi, ibu negara India, turut dilanda satu letupan kereta pada Isnin, yang mengorbankan sekurang-kurangnya lapan orang.
Sharif turut menuduh kumpulan militan Taliban Pakistan dan puak pemisah dari wilayah Balochistan di negara, yang sebelum ini sering menyasarkan pasukan keselamatan.
Di Islamabad, peguam Mohammed Shahzad Butt berkata terdapat “letupan besar”.
“Semua orang mula berlari dalam keadaan panik. Saya melihat sekurang-kurangnya lima mayat terbaring di pintu utama,” katanya kepada AFP .
Seorang lagi peguam, Rustam Malik, berkata beliau “mendengar dentuman kuat di pintu masuk” ketika tiba di kompleks tersebut.
“Keadaan sangat huru-hara, peguam dan orang ramai berlari masuk ke dalam bangunan. Saya melihat dua mayat di pintu dan beberapa kereta terbakar,” katanya.
Islamabad telah lama terselamat dari keganasan militan besar sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan serangan nekad terakhir berlaku pada Disember 2022.
Pengeboman itu berlaku ketika pasukan keselamatan Pakistan sedang bertempur dengan militan yang bersembunyi di sebuah sekolah di daerah Wana, wilayah Khyber Pakhtunkhwa.
“Terdapat serangan di Wana juga malam tadi,” kata Naqvi. “Tiga orang terbunuh dalam serangan itu. Penyerang adalah warga Afghanistan. Afghanistan terlibat secara langsung dalam serangan itu.”
|