Prosiding kes dua beranak mati dibunuh ditangguh 26 November untuk lantikan jurubahasa
Nur Izzati Mohamad - November 4, 2025 @ 11:47am

Reman terhadap suspek utama warga Nepal yang terbabit dalam kes pembunuhan dua beranak di Kampung Sekolah Juru disambung selama tujuh hari lagi sehingga 7 November. - Foto BERNAMA
BUKIT MERTAJAM: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menangguhkan prosiding pertuduhan terhadap seorang lelaki warga Nepal yang didakwa membunuh dua beranak di Kampung Sekolah Juru, di sini pada 18 Oktober lalu.
Ia susulan tertuduh, Dinesh Kumar Mandal, 35, dikatakan tidak memahami bahasa Melayu dan memerlukan jurubahasa bagi membolehkan pertuduhan berkenaan dibacakan terhadapnya.
Berikutan itu, Majistret Nurul Rasyidah Akit menetapkan 26 November depan untuk lantikan jurubahasa Nepal dan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.
Prosiding hari ini sepatutnya tertuduh berdepan dua pertuduhan membunuh Sariya Che Hin, 51, dan Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11, antara jam 12.30 tengah hari hingga 7.30 malam di sebuah rumah di Kampung Sekolah Juru, di sini, pada 18 Oktober lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika tidak dikenakan hukuman gantung.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfadli Hassan dan Anis Suhada Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Media pada 18 Oktober lalu melaporkan dua beranak mati dibunuh dalam keadaan mengerikan.
Allahyarham Sariya ditemukan di bahagian dapur tingkat bawah rumah berkenaan dalam keadaan menyayat hati dengan kepalanya hampir putus manakala, mayat anak angkatnya, Nur Afrina Alisha berada dalam keadaan meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah.
Laporan bedah siasat mendapati punca kematian dua beranak itu disebabkan tetakan di belakang leher dengan menggunakan senjata tajam dipercayai pisau pemotong daging.
Susulan insiden berkenaan suami kepada Allahyarham Sariya berusia 57 tahun bersama kenalannya berusia 45 tahun ditahan untuk siasatan lanjut sebelum kedua-dua mereka dibebaskan.
Pemeriksaan polis turut menemui sebilah pisau yang dibuang dalam kawasan semak berhampiran lokasi kejadian.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2025/11/1467384/prosiding-kes-dua-beranak-mati-dibunuh-ditangguh-26-november-untuk
|