Jeneral Muhammad Norazlan Aris panglima pertama dianugerahkan Beret Biru PASKAU
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin - November 2, 2025 @ 10:53am

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan melakukan pengurniaan Beret Biru PASKAU, Lanyard Biru dan Pisau Komando kepada Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris (kiri) pada Majlis Penutup Kursus Asas PASKAU Siri 32/25 di Pantai Hiburan, Rompin. - Foto MUHAMMAD DELIMA ATAN
KUALA LUMPUR: Sejarah 'luar biasa' tercipta apabila Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris menjadi panglima pertama negara dianugerahkan Beret Biru Pasukan Khas Udara (PASKAU).
Ia selepas beliau berjaya mengharungi dan melepasi ujian 'keras' latihan kepakaran PASKAU Siri 32/2025 bermula 28 Ogos lalu.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam satu kenyataan memaklumkan Muhamad Norazlan berjaya menamatkan latihan kepakaran PASKAU yang menguji kekuatan mental, fizikal dan daya tahan peserta.
"Beliau berjaya melepasi ujian khas antaranya Special Weapon Shooting (menembak senjata khas), hostage rescue (menyelamat tebusan), aerial sniping (penembak tepat), jalan lasak, helicopter insertion and extraction (penyisipan dan pengeluaran helikopter) dan latihan terjun bebas," katanya.
Kejayaan itu sekali gus menzahirkan kepemimpinan berjiwa besar beliau yang sanggup turun padang bersama anggota pasukan khas negara.
Susulan itu beliau dianugerahkan Beret Biru PASKAU oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Mustain Billah, baru-baru ini.
Pengurniaan beret berprestij itu melambangkan pengiktirafan tertinggi kepada keberanian, ketahanan serta komitmen luar biasa Muhamad Norazlan dalam memahami peranan dan cabaran pasukan khas elit TUDM di lapangan.
"Kejayaan Muhamad Norazlan itu disifatkan sebagai manifestasi kepimpinan melalui teladan, mencerminkan keazaman dan komitmen beliau untuk memahami keupayaan serta kesiapsiagaan sebenar anggota pasukan khas TUDM.
"Susulan itu, seluruh warga TUDM turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan atas pengurniaan beret bersejarah itu yang bukan sahaja menandakan pengiktirafan kepada kepimpinan tertinggi tentera udara, tetapi juga menjadi suntikan semangat baharu kepada seluruh warga TUDM untuk terus berbakti dengan penuh dedikasi kepada negara," kata MINDEF.
Sementara itu, Muhamad Norazlan berkata, sebagai Panglima Tentera Udara, dia berpegang kepada prinsip bahawa seorang pemimpin mesti turun ke lapangan bersama anggotanya.
"Bukan sekadar memberi arahan, tetapi turut merasai cabaran sebenar yang dilalui anggota TUDM di medan latihan dan operasi. Melalui pengalaman ini, saya lebih memahami kepayahan mereka dan dapat mengenal pasti keperluan sebenar pasukan khas kita.
"PASKAU ialah benteng hadapan pertahanan negara. Keupayaan pasukan ini akan terus diperkukuh melalui latihan berterusan, peningkatan kemahiran taktikal, penguasaan teknologi moden serta penambahbaikan aset dan sistem operasi. Semua ini bagi memastikan PASKAU kekal relevan, tangkas dan bersedia menghadapi sebarang cabaran semasa dan masa hadapan.
"Saya yakin, dengan semangat Beret Biru yang sentiasa menyala, PASKAU akan terus menjadi lambang keberanian dan keunggulan Tentera Udara Diraja Malaysia dalam mempertahankan keamanan serta kedaulatan tanah air," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/11/1466638/jeneral-muhammad-norazlan-aris-panglima-pertama-dianugerahkan-beret
|