Austin: Lando Norris mengekalkan ketenangan di bawah tekanan semalam apabila menamatkan sesi kelayakan di tempat kedua di belakang Max Verstappen bagi Grand Prix Amerika Syarikat yang akan berlangsung malam ini.
Ditekan untuk beraksi cemerlang bagi mengejar kelebihan 22 mata rakan sepasukannya di McLaren, Oscar Piastri dalam perebutan kejuaraan pemandu, pelumba Britain berusia 25 tahun itu yang mencatat masa terpantas pada sesi latihan pertama Jumaat lalu mengakui dia kekurangan kepantasan untuk menewaskan juara dunia empat kali Red Bull itu bagi merebut petak utama.
"Perlumbaan hari ini agak sukar atas sebab tertentu. Semalam saya berasa selesa, tetapi saya tak pasti sama ada semua orang meningkat sedikit atau angin hari ini banyak menjejaskan kami.
"Kami berdua agak bergelut untuk menghasilkan pusingan pantas dan setanding dengan Max.
"Kami sudah cuba sebaik mungkin. Saya gembira dengan P2 sekurang-kurangnya tidak lebih buruk. Tiada peluang kami boleh rebut petak utama hari ini," kata Norris.
Selepas terbabit dalam insiden kemalangan dengan Piastri dalam perlumbaan pecut yang dimenangi Verstappen sebelum itu, Norris tetap tenang dan bersikap positif.
"Petua saya untuk esok jangan kena langgar. Saya menantikan perlumbaan yang baik dengan Max.
"Kami sudah beberapa kali bersaing dengan sengit sebelum ini dan saya tak sabar untuk mengulanginya," katanya.
Sementara itu, Verstappen yang sebelum ini mengurangkan jurang mata di belakang pendahulu keseluruhan, Piastri, sebanyak 41 mata sejak rehat musim panas, dan kemudian menjarakkan lagi kepada 55 mata selepas menjuarai perlumbaan pecut, tampil optimis mengenai peluangnya.
"Ini keputusan yang baik untuk kami. Kereta kami cukup pantas dan agak sukar menghasilkan pusingan sempurna di sini kerana angin serta permukaan trek yang bergelombang ditambah pula dengan suhu panas yang tinggi," kata Verstappen.
Apabila ditanya mengenai peluangnya memburu kejuaraan dunia kelima, Verstappen berkata kunci utama adalah menang dan terus menang.
"McLaren bantu kami hari ini," selorohnya, merujuk kepada insiden awal dalam perlumbaan pecut apabila kereta Sauber dipandu Nico Hulkenberg melanggar McLaren Piastri dan menyebabkan ia menghentam kereta Norris.
"Tapi kami hanya perlu terus menang... Kalau menang, kami masih ada peluang."
Piastri pula mengakui hari itu bukan miliknya.
"Segalanya tak menjadi dan kami perlu menilai semula untuk lihat apa yang boleh diperbaiki," katanya sambil menegaskan dia masih tenang dan yakin dapat mengembalikan konsistensi yang pernah membantunya memimpin kejuaraan awal musim ini.