Malaysia-Malaysia berentap di final
Oleh Helmi Talkah - Oktober 18, 2025 @ 5:51pm

Khai Xing-Aaron menepati janji untuk mempamer kebangkitan di Malaysia Super 100 apabila mara ke final hari ini.
KUALA LUMPUR: Malaysia sudah mengesahkan gelaran juara dalam acara beregu lelaki di Malaysia Super 100 di Johor selepas dua wakil negara bakal berentap sesama sendiri dalam aksi final esok.
Pertemuan itu bakal mempertemukan bekas juara remaja dunia, Kang Khai Xing-Aaron Tai, menentang gandingan profesional negara, Chia Wei Jie-Lwi Sheng Hao, sekali gus menjamin kejuaraan milik Malaysia.
Khai Xing-Aaron yang kini menghuni ranking ke-63 dunia mara ke pentas final selepas menundukkan rakan senegara yang juga beregu profesional di ranking ke-44 dunia, Low Hang Yee-Ng Eng Cheong, 21-19, 25-23 dalam aksi separuh akhir di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Educity, di sini, hari ini.
Kejayaan mara ke final ini hadir tepat pada waktunya buat Khai Xing-Aaron selepas ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi sebelum ini tidak menolak kemungkinan memecahkan gandingan muda itu sekiranya mereka gagal menunjukkan impak positif menjelang hujung tahun ini.
Malah, Khai Xing-Aaron sendiri berazam menjadikan Malaysia Super 100 sebagai pentas kebangkitan selepas melalui siri keputusan hambar dalam beberapa kejohanan sebelum ini.
Musim ini, mereka dilihat bergelut dalam saingan peringkat senior apabila tersingkir di pusingan awal dalam semua kejohanan disertai, sebelum kebangkitan di Johor kali ini.
Kemaraan ke final ini juga menjadi pencapaian terbaik mereka dalam siri Jelajah Dunia BWF setakat ini.
Sementara itu, Wei Jie-Sheng Hao turut mencipta kejutan apabila menumbangkan pilihan pertama kejohanan dari Jepun, Kakeru Kumagai-Hiroki Nishi, 18-21, 22-20, 21-19 dalam satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung sengit.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2025/10/1460582/malaysia-malaysia-berentap-di-final
|