Tokyo: Amerika Syarikat (AS) menamatkan Kejohanan Dunia Olahraga dengan penuh bergaya apabila menggondol emas berganda dalam acara 4x100 meter (m) lelaki dan wanita, meskipun berdepan hujan lebat pada hari terakhir.
Melissa Jefferson Wooden sekali lagi mencuri tumpuan apabila membantu skuad wanita AS mencatat 41.75 saat (s), sekali gus melengkapkan hatrik emas peribadi selepas mendominasi 100m dan 200m.
Kejayaan itu menjadikan pelari berusia 24 tahun itu sebagai wanita kedua dalam sejarah yang menyapu bersih tiga gelaran pecut pada satu edisi kejohanan.
"Individu sudah saya capai, kini bersama rakan latihan pula dapat emas. Tiga pingat emas, nama saya sekali lagi masuk dalam buku sejarah," katanya penuh teruja.
Jamaica muncul naib juara dengan catatan 41.79s, menambah satu lagi memori indah buat ratu pecut legenda, Shelly Ann Fraser Pryce yang menamatkan karier di pentas dunia dengan 17 pingat, termasuk 10 emas.
"Saya bersyukur menutup tirai dengan perak, lebih bermakna bila bersama pelari muda. Harap saya tinggalkan inspirasi buat mereka," kata bintang berusia 38 tahun itu.
Jerman melengkapkan podium dengan 41.87s selepas pelari terakhir, Gina Lueckenkemper melakukan larian bertenaga untuk menewaskan Britain.
Dalam acara lelaki, Noah Lyles kembali menjadi wira apabila membawa AS melintas garisan penamat dengan catatan 37.29s, menambah emas kedua peribadi selepas mempertahankan gelaran 200m.
"Kami memang terpantas. Hanya perlu pastikan baton sampai. Rakan-rakan lakukan tugas sempurna, saya cuma selesaikan," kata Lyles.
Kanada mengekori rapat dengan 37.55s untuk perak, manakala Belanda mencuri tumpuan apabila merangkul gangsa dengan rekod kebangsaan 37.81s.