Berlin: Juara dunia Formula 1 empat kali, Max Verstappen turun beraksi di Nurburgring Nordschleife hujung minggu lalu dan berjaya memperoleh permit untuk memandu kereta kelas GT3 di litar ikonik Jerman itu.
Pelumba Red Bull Racing berusia 27 tahun dari Belanda itu, yang dianggap antara pemandu terbaik dunia ketika ini, mendapat lampu hijau untuk membuat penampilan sulung dalam saingan Nurburgring Langstrecken-Serie (NLS), yang menganjurkan semua perlumbaannya di kompleks perlumbaan Nurburg.
Namun, status dan popularitinya tidak membolehkannya terlepas syarat wajib apabila Verstappen tetap perlu menduduki peperiksaan teori bagi melayakkan diri menyertai siri itu.
Sabtu lalu, dia mengambil bahagian dalam perlumbaan empat jam bersama rakan sepasukan dari Britain, Chris Lulham, dengan memandu Porsche GT4 Cayman yang menggunakan livery Verstappen.com Racing x Red Bull.
Verstappen mencapai sasaran utamanya dengan melengkapkan 14 pusingan di litar, dibahagikan antara dua kereta. Bagaimanapun, sebuah daripadanya, kereta bernombor 89, mengalami kerosakan ketika sesi kelayakan sekali gus menyebabkan Verstappen tidak sempat memandunya.
Jawatankuasa yang menilai kelayakan permit akhirnya meneliti kes Verstappen dan menganugerahkannya Permit A DMSB.
"Saya sangat seronok, tetapi di sini memang selalu begitu.
"Ia juga bagus untuk memandu dalam situasi perlumbaan sebenar dengan kereta lebih laju dan perlahan. Ada juga neutralisasi 'code 60', dua bendera kuning dan bendera kuning.
"Saya memandu dalam hujan, trek kering dan keadaan bercampur. Saya belajar bahagian mana yang lebih dan kurang cengkam serta sempat lakukan permulaan juga. Ia pengalaman berharga untuk saya di litar ini" kata Verstappen.
Dengan permit itu, Verstappen kini layak menyertai pusingan kesembilan NLS dalam tempoh dua minggu lagi malah sudah boleh mengemudi kereta kelas GT3 yang jauh lebih berkuasa berbanding GT4.