Marquez hampiri gelaran dunia MotoGP ketujuh
AFP

MARC Marquez meraikan kemenangannya. FOTO REUTERS
Misano Adriatico: Marc Marquez semakin hampir untuk memenangi gelaran dunia MotoGP ketujuhnya selepas muncul juara Grand Prix San Marino, hari ini.
Pelumba Ducati itu kini mendahului 182 mata mengatasi adiknya, Alex Marquez, yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Dengan baki enam hujung minggu perlumbaan, Marquez berpeluang untuk menyamai rekod legenda motosikal, Valentino Rossi, pada MotoGP Jepun hujung bulan ini.
Pelumba berusia 32 tahun itu meraih kemenangan Grand Prix ke-99 dalam kariernya selepas bermula dari petak keempat dan menewaskan Marco Bezzecchi dalam pertarungan hebat.
Seperti dalam perlumbaan pecut semalam, Marc Marquez meluncur laju memintas Fabio Quartararo dan adiknya, Alex Marquez, sebaik lampu hijau dinyalakan untuk mengejar Bezzecchi.
Namun, berbeza dengan semalam apabila dia terbabas selepas memintas Bezzecchi, kali ini Marquez tidak melakukan kesilapan sama apabila merampas kedudukan pendahulu pada pusingan ke-12.
Dia mengambil kesempatan apabila Bezzecchi terbabas sedikit di selekoh pada pusingan ke-12 dan sejak itu menunggang dengan penuh bergaya untuk memastikan kemenangan Grand Prix ke-11 dalam musim luar biasa yang turut menyaksikannya memenangi 14 perlumbaan pecut.
Ia sekali lagi menjadi hujung minggu malang buat rakan senegara Bezzecchi, Francesco Bagnaia, yang bermula dari petak kelapan - kedudukan terendahnya di Misano - sebelum terbabas pada pusingan ke-10.
Disiarkan pada: September 14, 2025 @ 9:26pm
https://www.hmetro.com.my/arena/permotoran/2025/09/1264088/marquez-hampiri-gelaran-dunia-motogp-ketujuh
|