Kuala Lumpur: Kebangkitan Negeri Sembilan FC (NSFC) musim ini menjadi bualan hangat peminat bola tempatan apabila skuad Jang kini dilihat sebagai 'penghidup' Liga Super, sekali gus mengembalikan aura saingan elit negara.
Bayangkan, lebih 50,000 penyokong membanjiri stadium hanya untuk dua aksi awal di gelanggang sendiri iaitu angka luar biasa yang sukar dijangka selepas beberapa musim suram melanda pasukan itu.
Fenomena itu membuatkan ramai pemerhati bola sepak tempatan menyifatkan NSFC berjaya meniupkan semangat baharu dalam Liga Malaysia (Liga M) yang sebelum ini dikritik kerana kemerosotan jumlah kehadiran penonton.
Bekas Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM), Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata, apa yang berlaku terhadap NSFC wajar dijadikan contoh oleh kelab lain.
Menurut Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu, transformasi NSFC bukan sahaja terletak pada prestasi pasukan, tetapi juga perubahan pengurusan dan cara mereka mendekati penyokong.
Katanya, peranan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NSFC, Faliq Firdaus yang berjiwa muda dan berpengetahuan luas dalam bola sepak, selain sokongan padu Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menjadi kunci kepada kebangkitan skuad Jang.
"Negeri Sembilan berjaya menghidupkan kehangatan Liga Super. Faktor persembahan pasukan yang konsisten dan promosi berkesan adalah kunci tarikan penyokong ke stadium," katanya.
Tambahnya lagi, NSFC bijak menyusun pasukan dengan keseimbangan pemain di setiap posisi meskipun bukan berstatus bintang, selain dibimbing jurulatih muda berpengalaman. Gabungan itu jelas menjadi ramuan kejayaan awal mereka.
Lebih menarik, kata Zulakbal, pendekatan media sosial NSFC yang mesra anak muda turut memainkan peranan besar dalam menarik penyokong baharu, sekali gus mewujudkan keterikatan dengan pasukan.
"Walaupun penyokong tahu NSFC sukar menandingi JDT untuk kejuaraan, mereka tetap hadir beramai-ramai. Itu menunjukkan bola sepak bukan sekadar keputusan, tetapi semangat yang dibawa pasukan," katanya.
Setakat ini, NSFC mengumpul empat mata selepas tiga aksi liga dan menghuni tangga ketujuh, sedangkan pasukan lain di kelompok atas sudah beraksi empat hingga lima perlawanan.