Petaling Jaya: Selangor FC berpesta gol apabila membelasah Malaysian University Football Team (MUFT) 9-0 pada aksi kedua pusingan 16 pasukan terbaik Piala FA 2025/2026 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, malam tadi.
Kemenangan bergaya itu memastikan skuad kendalian Kinoshi Katsuhito mara ke suku akhir dengan agregat 12-1, sekali gus mengesahkan reputasi Merah Kuning sebagai pencabar utama kejohanan.
Selangor yang membawa bekalan 3-1 daripada aksi pertama bermula garang menerusi jaringan Kevin Deeromram pada minit ke-12 sebelum Quentin Cheng menambah gol kedua hasil lorongan kemas Chrigor Moraes sembilan minit kemudian.
Moraes sendiri melengkapkan dominasi awal Selangor apabila meledak gol ketiga pada masa tambahan separuh masa pertama untuk memberi kelebihan selesa 3-0 ketika rehat.
Bersambung babak kedua, Alvin Fortes hampir menambah jaringan namun rembatan derasnya pada minit ke-46 ditepis penjaga gol MUFT, Ashraf Mohamad Fadhil.
Deeromram kemudian mencatat gol kedua peribadi menerusi rembatan luar kotak penalti pada minit ke-48 sebelum Fortes akhirnya meledak jaringan kelima Selangor pada minit ke-63.
Pemain gantian, Zach Clough tidak ketinggalan mencatat nama selaku penjaring apabila meledak gol keenam pada minit ke-70 hasil umpanan Moraes yang nyata menjadi nadi utama serangan Selangor.
Skuad Gergasi Merah terus berpesta apabila Moraes menambah gol ketujuh pada minit ke-76 sebelum melengkapkan hatrik peribadi tiga minit kemudian dengan menyambar bola muntah untuk menjadikan kedudukan 8-0.
Pasukan tuan rumah terus melengkapkan malam indah untuk mereka apabila Zikri Khalili menyumbat gol kesembilan pada minit terakhir perlawanan.
Lebih 2,000 penyokong yang hadir di stadium nyata dihiburkan dengan aksi menyerang tanpa belas ihsan pasukan Merah Kuning yang terus menggandakan asakan sehingga wisel penamat.
MUFT yang dipimpin Mohd Yazli Yahya akhirnya terpaksa akur dengan kekuatan Selangor, manakala skuad Merah Kuning kini mara ke suku akhir dengan keyakinan tinggi untuk melangkah lebih jauh dalam saingan Piala FA musim ini.
Selangor FC dijangka akan bertemu Negeri Sembilan pada aksi suku akhir selepas pasukan itu bergaya melangkah ke pusingan seterusnya selepas menumpaskan PDRM menerusi agregat 5-1.