Wan Arif-Roy King lakar kejutan singkir beregu nombor empat dunia
Oleh Helmi Talkah - September 9, 2025 @ 8:18pm

Wan Arif-Roy King mara ke pusingan kedua Terbuka Hong Kong. Foto NSTP/ASYRAF HAMZAH
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King mencipta sensasi apabila menumbangkan pasangan nombor empat dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen pada aksi pembukaan Terbuka Hong Kong di Hong Kong Coliseum, sebentar tadi.
Wan Arif-Roy King yang menghuni ranking ke-20 dunia memperagakan aksi penuh meyakinkan untuk mencatat kemenangan straight set 21-19, 23-21 dalam tempoh 43 minit, sekali gus menamatkan badi kekalahan selepas tewas dalam dua pertemuan terdahulu menentang gandingan berpengalaman itu.
Sebagai rekod, pasangan muda negara itu sudah meraih gelaran sulung musim ini di Terbuka Macau, bulan lalu.
Mereka kini menantikan pemenang antara satu lagi beregu negara, Choong Hon Jian-Haikal Nazri dan pasangan veteran Korea Selatan, Kim Gi Jung-Kim Sa Rang untuk perebutan tiket ke suku akhir.
Sementara itu, beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing turut mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Fan Ka Yan-Yau Mau Ying 21-15, 17-21, 21-12.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2025/09/1444185/wan-arif-roy-king-lakar-kejutan-singkir-beregu-nombor-empat-dunia
|