Afif ungguli Litar Lumba Tangkak
Oleh Khairil S Iswan - September 7, 2025 @ 8:06pm

Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing, Ahmad Afif Amran memenangi pusingan ketujuh Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysia Cub Prix di Litar Lumba Tangkak, Johor
KUALA LUMPUR: Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing, Ahmad Afif Amran merangkul kemenangan kelimanya musim ini selepas menakluk pusingan ketujuh Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysia Cub Prix di Litar Lumba Tangkak, Johor, hari ini.
Kemenangan dramatik itu sekali gus menebus kekecewaan Afif yang tewas di gelanggang sendiri pada pusingan keenam di Terengganu bulan lalu, sekali gus menjadikan kejayaan di Johor lebih bermakna.
Bermula dari petak kedua, Afif bijak mengatur strategi dengan memilih untuk mengekori rapat pelumba petak utama, Kasma Daniel Kasmayudin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor yang memimpin hampir keseluruhan 20 pusingan perlumbaan.
Dan kesabaran Afif membuahkan hasil apabila serangannya pada dua pusingan terakhir berjaya memintas Kasma dan kekal tenang mengawal jenteranya sehingga garisan penamat.
Afif menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 14 minit 36.160 saat (s), hanya 0.204s di hadapan Kasma yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan masa 14'36.364s. Rakan sepasukan Afif, Md Akid Aziz, melengkapkan podium di kedudukan ketiga dengan catatan 14'38.246s.
Mengulas perlumbaan itu, Afif menyifatkan kemenangannya sebagai rezeki selepas melihat penguasaan Kasma sepanjang hujung minggu perlumbaan.
"Kemenangan ini sememangnya rezeki kerana sepanjang minggu ini kita dapat lihat Kasma sudah mendominasi dari hari pertama hingga ke hari perlumbaan. Saya sendiri menjangkakan rentak perlumbaannya memang kuat dan pertarungan sengit akan berlaku.
"Mungkin saya boleh memintasnya pada satu pusingan, kemudian dia pula akan memintas saya semula. Tetapi pada pusingan ketiga, pelindung lutut kirinya tercabut dan terjatuh, menyebabkan dia tidak dapat mengekalkan rentak perlumbaannya.
"Mungkin itu menjadi rezeki untuk saya, dan saya benar-benar bersyukur dapat meraih kemenangan sekali lagi hari ini," kata Afif.
Kemenangan mengukuhkan lagi kedudukan Afif di puncak carta keseluruhan pelumba dengan mengumpul 165 mata, meninggalkan Akid di tempat kedua dengan 98 mata, manakala Kasma di tangga ketiga dengan 97 mata.
Sementara itu, dalam saingan kelas CP125, kemenangan menjadi milik pelumba pasukan Zynergys Honda KC Racing, Md Idlan Haqimi Raduan dengan podium turut diisi oleh Arash Tsunami Kamarudin (ATAS AHM Motor Sports) di tempat kedua dan Md Adib Arsyad Md Hisam (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) ketiga.
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2025/09/1443352/afif-ungguli-litar-lumba-tangkak
|