Kuala Lumpur: Jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar membuktikan dirinya masih berbisa apabila hanya memerlukan dua minit 10 saat untuk mencatat Technical Knockout (TKO) ke atas petarung berpengalaman dari Maghribi, Zakaria El Jamari dalam aksi muay thai flyweight di ONE Fight Night 35 di Stadium Lumpinee, Thailand, hari ini.
Sebaik aksi bermula, Johan atau lebih dikenali dengan Jojo bermula cukup agresif dengan melakukan serangan bertubi-tubi ke arah Zakaria, terutama melepaskan tumbukan berkali-kali untuk menjatuhkan lawannya.
Strategi yang digunakan dalam perlawanan itu ternyata membawa tuah buat dirinya apabila Zakaria akhirnya tidak mampu menahan tumbukan deras daripada Jojo sebelum jatuh dan pengadil terpaksa menamatkan petarungan itu.
Sementara itu, lawan dari Maghribi itu pula dilihat lebih memilih untuk bertahan daripada serangan Jojo dan hanya sekali-sekala melepaskan tumbukan dan tendangan ke arah lawannya.
Untuk makluman, sebelum ini, Jojo pernah turun ke gelanggang dalam acara ONE Championship pada Jun lalu yang menyaksikan dia tewas tipis menerusi keputusan split decision kepada Diego Paez.
Kali terakhir Jojo merasai nikmat kemenangan ialah pada 8 Disember tahun lalu apabila dia menumbangkan juara WBC dari Mexico, Edgar Tabares, menerusi kemenangan knockout (KO) dalam tempoh 36 saat.