Monza, Itali: Lando Norris percaya dia masih berpeluang memburu gelaran dunia Formula Satu (F1) walaupun aksi Grand Prix Belanda hujung minggu lalu berakhir dengan kekecewaan ketika rakan sepasukannya kini mendahului kejuaraan, Oscar Piastri.
Norris kini ketinggalan 34 mata di belakang pemandu Australia itu dengan baki sembilan perlumbaan termasuk Grand Prix Itali di Monza, Ahad ini.
Piastri sudah meraih tujuh kemenangan musim ini berbanding lima dimenangi Norris, termasuk kejayaan di Zandvoort minggu lalu selepas kereta Norris mengalami masalah mekanikal ketika berada di kedudukan kedua.
"Saya masih boleh menang kejuaraan tanpa perlu sesuatu berlaku kepada Piastri. Itu cara yang saya mahukan," kata pelumba Britain itu pada sesi sidang media di Monza.
"Ia tentu lebih mudah jika ada pelumba lain yang boleh mencelah di antara kami. Hakikatnya, kami terlalu dominan sebagai pasukan dan itu sebenarnya membuatkan keadaan lebih sukar buat saya".
McLaren mendominasi musim ini dengan tujuh kali menamatkan perlumbaan di kedudukan satu-dua daripada 15 perlumbaan, selain memenangi lima perlumbaan terakhir. Piastri juga menjadi satu-satunya pemandu yang mengutip mata dalam setiap perlumbaan musim ini.
Dengan baki 249 mata ditawarkan – 25 untuk kemenangan perlumbaan dan maksimum 24 mata menerusi tiga perlumbaan pecut pada hari Sabtu – Norris kekal sebagai satu-satunya pencabar sebenar Piastri.
Mengulas insiden Zandvoort, Norris mengakui kecewa tetapi enggan menyalahkan sesiapa.
"Ia mudah saja, itulah lumba kereta. Kalau saya kalah kejuaraan dengan jumlah mata itu, saya kena terima dan cuba lagi tahun depan.
"Saya tak boleh terlalu lama memikirkan detik itu. Bukan salah sesiapa secara langsung. Kalau pun ada, saya kena terima dengan hati terbuka dan teruskan," katanya.