Amsterdam: Prinsipal Mercedes, Toto Wolff mengesahkan pasukannya akan terus mengekalkan George Russell dan Kimi Antonelli sebagai pelumba bagi musim Formula Satu (F1) 2026.
Selepas Grand Prix Belanda, Wolff memaklumkan kepada media termasuk bahawa Russell dan Antonelli akan kekal bersama Mercedes tahun depan, meskipun butiran lanjutan mengenai kontrak Russell masih dalam proses dimuktamadkan.
Mercedes sebelum ini pernah menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat juara dunia empat kali, Max Verstappen, namun pelumba Red Bull itu sudah mengesahkan akan kekal bersama pasukannya pada musim 2026 sebelum cuti musim panas, sekali gus membuka jalan kepada Russell dan Antonelli untuk terus bersama jentera Silver Arrows.
"Saya selalu kata tiada berita besar sebab kami memang sudah putuskan perkara ini. Kami akan terus bersama mereka berdua, sudah tentu," kata Wolff.
"Bagi George, ada beberapa perkara yang mahu kami optimakan seperti urusan perjalanan dan hari pemasaran, termasuk jumlah jam yang diluangkan. Dia seorang pelumba berpengalaman dan penting untuk kami berbincang mengenai perkara itu.
"Kami mahu prestasi terbaik daripada pelumba, namun dalam masa sama kami akui beban aktiviti pemasaran dan media agak tinggi, jadi kami sedang menyusun semula keseimbangan ini."
Wolff dalam masa sama menolak kemungkinan pengumuman rasmi akan dibuat Mercedes menjelang Grand Prix Itali hujung minggu ini di Monza.
"Adakah akan ada pengumuman di Monza? Tidak. Tetapi saya juga rasa ia bukan sesuatu yang besar. Kami hanya akan maklumkan bahawa kami sudah menandatangani perjanjian," jelasnya.