Kuala Lumpur: Harapan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk meneruskan lakaran pingat pada Kejohanan Dunia berakhir dengan kekecewaan selepas tewas kepada pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pada suku akhir di Paris, awal pagi tadi.
Beregu nombor dua dunia itu tewas 12-21, 19-21 di Arena Adidas, sekali gus gagal naik podium buat kali pertama sejak kejayaan bersejarah meraih gelaran juara dunia di Tokyo 2022.
Keputusan itu hadir sebagai satu tamparan, apatah lagi Aaron-Wooi Yik memiliki rekod pertemuan lebih baik menentang beregu ranking 11 dunia itu, yang dibimbing jurulatih Malaysia, Tan Kim Her dengan 11 kemenangan daripada 14 pertemuan sebelum ini.
Malah, Aaron-Wooi Yik juga menang dalam kedua-dua pertemuan mereka tahun ini di Terbuka Singapura dan Terbuka China.
Jika menang, Aaron-Wooi Yik boleh mencipta sejarah sebagai beregu lelaki pertama Malaysia meraih pingat dalam tiga edisi Kejohanan Dunia berturut-turut, selepas emas di Tokyo 2022 dan gangsa di Copenhagen 2023.
Sementara itu, impian Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk meraih pingat sulung Kejohanan Dunia berakhir dengan penuh kecewa selepas tewas sengit 21-23, 23-21, 15-21 kepada beregu nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae pada suku akhir penuh dramatik.
Beregu nombor tujuh dunia itu mempamerkan semangat juang luar biasa pada set pertama apabila bangkit daripada ketinggalan 13-18 untuk memperoleh mata penamat pada 20-19 dan 21-20, namun akhirnya akur tumpas 21-23.
Mereka kembali dengan lebih bersemangat pada set kedua, menyelamatkan dua mata perlawanan ketika ketinggalan 18-20 sebelum memaksa dius dan menutup set itu 23-21 bagi menghidupkan peluang pingat.
Namun pada set penentuan, ketahanan fizikal dan mental Won Ho-Seung Jae jelas terlalu sukar untuk ditandingi.
Dua kekalahan itu bermakna berakhirnya cabaran Malaysia dalam beregu lelaki dan kini mengharapkan magis Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) pada separuh akhir hari ini.