Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan, Razie Rahim optimis skuad hoki negara memiliki peluang cerah untuk menyerlah pada kempen Piala Asia 2025 di India, namun menegaskan pentingnya aksi pertama menentang Bangladesh Jumaat ini dijadikan batu loncatan.
Pakar pukulan sudut penalti itu berkata, peluang untuk merebut slot automatik ke Piala Dunia tetap ada, namun pemain perlu tampil dengan aksi konsisten dan memanfaatkan setiap perlawanan.
"Peluang itu ada. Tapi yang penting pemain mesti menyerlah setiap kali turun ke padang. Apa saja persiapan yang dilakukan sepanjang latihan hanya akan bermakna kalau mereka mampu tunjukkan di kejohanan sebenar," katanya ketika ditemui di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur semalam.
Mengulas perkembangan pasukan sejak dibimbing jurulatih Sarjit Singh, Razie melihat kombinasi pemain senior dan muka baharu kini semakin seimbang.
"Saya nampak peningkatan berbanding tahun lalu. Pemain baharu semakin menyerlah dengan bimbingan tonggak senior. Itu beri impak positif dan kita harap mereka cepat serasi dengan saingan bertaraf antarabangsa," ujarnya.
Dalam masa sama, Razie mengingatkan Speedy Tigers supaya tidak memandang mudah mana-mana pasukan.
"Semua lawan perlu diberi perhatian. Bahkan menentang pasukan seperti Taiwan pun tidak boleh terlalu yakin kerana setiap pasukan sedang bersaing untuk slot ke Piala Dunia," katanya.
Razie turut menekankan isu kekurangan pakar pukulan sudut penalti selepas hanya bergantung kepada Syed Syafiq Syed Cholan sebagai flicker utama.
"Kita hanya ada seorang flicker yang dikenali lawan. Jadi pemain kedua dan ketiga perlu tampil lebih berani. Bila diberi peluang, mereka mesti lakukan dengan baik supaya lawan tidak mudah membaca strategi kita," katanya.
Selain Bangladesh Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Taiwan dan Korea Selatan.
Hanya dua pasukan terbaik dari setiap kumpulan layak ke Super 4 bagi memburu slot ke final dan juara akan meraih tikat automatik ke Piala Dunia tahun depan yang dianjurkan Belanda/Belgium.