Kuala Lumpur: Malaysia Esports League 2025 (MEL25) melabuhkan tirai penuh gemilang apabila sembilan juara kebangsaan dimahkotakan merentasi sembilan judul permainan pada aksi final yang berakhir 24 Ogos lalu.
Kejohanan anjuran Kementerian Belia dan Sukan itu mengekalkan statusnya sebagai platform esukan akar umbi terbesar negara dengan jumlah hadiah keseluruhan RM192,500.
Persaingan bermula sejak 3 Ogos lalu menyaksikan aksi sengit dalam sembilan kategori permainan iaitu eFootball Mobile, PUBG Mobile, Free Fire, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), Tekken 8, Street Fighter 6, King of Fighters XV, Gran Turismo 7 dan Honor of Kings.
Antara yang mencuri tumpuan adalah Quah Ban Chuan atau IamChuan yang berjaya menggondol dua gelaran menerusi Street Fighter 6 dan King of Fighters XV.
Kejayaan lain turut menyaksikan Muhammad Hafiz Norhadi atau WPS DERHAKA muncul juara eFootball Mobile, manakala Sentry Symphony Esport pula dinobatkan sebagai pemenang PUBG Mobile.
Dalam kategori Free Fire, gelaran juara menjadi milik Maqna Esports Club, sementara ARCADE ESPORTS MY berjaya mengungguli persaingan panas dalam Mobile Legends: Bang Bang.
Kejohanan Tekken 8 pula dikuasai Muhammad Zarif Aiman Aris yang menggunakan nama MYPRO ZABA, manakala Gran Turismo 7 menyaksikan kehebatan Dhanesh Wigneswaran atau DannyR_3967.
Aksi Honor of Kings pula berpihak kepada FY Gaming.
Edisi kali ini tampil dengan pembaharuan apabila buat pertama kali menggunakan sistem carta pendahulu kebangsaan (national leaderboard) yang mengumpulkan mata prestasi pemain sejak Januari hingga Ogos.
Integrasi bersama siri MyLeague Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF) MESF dan MEL State Open itu memberi peluang lebih adil serta telus untuk melangkah ke pentas final.
Format baharu itu juga memperkukuh ekosistem akar umbi selain memudahkan pengesanan bakat baharu yang berpotensi mewakili negara ke temasya antarabangsa seperti Sukan SEA dan Sukan Asia.
Majlis penutup berlangsung di ESI Hub, Spacerubix, Puchong dengan kehadiran Timbalan Presiden MESF, Afiq Fadhli Narawi, Penolong Naib Presiden Kanan Esports Integrated, Qistina Iman Abd Manaf serta wakil penerbit permainan.