FAM akan bertindak tegas insiden 'bertumbuk' di gelanggang futsal
Oleh Syafiq Aznan - Ogos 24, 2025 @ 2:25pm
Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terbabit dalam kekecohan yang tercetus di Arena Futsal Negeri Sembilan selepas ketua jurulatih Sabah, Roger Filipe, ditumbuk penolong jurulatihnya sendiri.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, pihaknya sudah meminta laporan penuh daripada pegawai perlawanan dan pengadil sebelum kes berkenaan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib.
"Kita sedang meneliti insiden pergaduhan itu dan menunggu laporan daripada pegawai perlawanan serta pengadil. Semua maklumat tersebut akan dikumpul dan diserahkan kepada Jawatankuasa Tatatertib untuk tindakan selanjutnya.
"Sekiranya didapati bersalah, jurulatih terbabit boleh dikenakan hukuman gantung dan denda," katanya.
Terdahulu, insiden panas itu berlaku selepas tamat aksi penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Futsal Malaysia yang menyaksikan Sabah tewas 3-4 di tangan Johor Darul Ta'zim (JDT).
Sabah terlebih dahulu mendahului 3-1 namun JDT bangkit untuk melakar kemenangan dramatik 4-3.
Kekalahan itu tampak mengundang kemarahan Filipe yang dilihat gagal mengawal emosi dan beliau bertindak agresif sehingga memaksa pegawai sendiri cuba menenangkan keadaan.
Namun suasana bertambah tegang apabila penolong jurulatihnya tiba-tiba melepaskan satu tumbukan ke wajah Filipe hingga beliau rebah terbaring di tepi gelanggang.
Detik mengejutkan itu sempat dirakam penonton sebelum rakaman berkenaan tular di media sosial, sekali gus mencetus pelbagai reaksi dalam kalangan peminat futsal tanah air.
Lebih memalukan, insiden itu berlaku dalam pentas rasmi yang menjadi tumpuan ramai, sekali gus mencalar imej profesionalisme pasukan.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2025/08/1437355/fam-akan-bertindak-tegas-insiden-bertumbuk-di-gelanggang-futsal
|