Kuala Lumpur: Pelumba cilik pasukan Ah Thong Motors Racing, Md Ali Imran Mohd Dzul Hijri menjuarai kategori Yamaha Lagenda 115s pada pusingan keenam Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix di Litar Antarabangsa Petronas Sepang (Selatan), hujung minggu lalu.
Bukan saja kali pertama menaiki podium, malah ia juga kejayaan sulungnya memenangi saingan itu.
Dalam perlumbaan itu, Ali memintas Raja Abdul Raqib di saat akhir sebelum tiba di garisan penamat manakala Aliff menamatkan saingan di tangga ketiga.
Menurut Ali, dia mengucapkan terima kasih kepada kedua ibu bapanya serta pasukan yang membantu menyediakan jentera dengan sempurna.
"Syukur Alhamdulillah, saya nak ucapkan terima kasih kepada mak bapa saya, keluarga saya, nenek saya dengan abang Is...dengan mekanik saya yang buat motor saya jadi sedap.
"Tadi saya duduk belakang orang yang nombor satu, Alhamdulillah dapat potong ketika (jalan) lurus," katanya.
Selepas ini, pusingan ketujuh akan diadakan di Litar Lumba Tangkak, Johor pada 6 dan 7 September depan.