Madrid: Jorge Martin mengakui dia perlu lebih agresif ketika bersaing dalam kelompok pertengahan saingan MotoGP selepas kehilangan kedudukan di awal perlumbaan Grand Prix (GP) Austria, Ahad lalu.
Juara bertahan MotoGP itu, yang masih berusaha mencari rentak selepas terlepas ujian pra-musim dan 10 pusingan akibat kecederaan, memecut dari petak ke-14 ke kelompok 10 terbaik pada pusingan awal di Litar Red Bull Ring.
Namun, tidak lama kemudian Martin kembali merosot ke kedudukan asalnya.
"Saya lakukan permulaan yang baik. Tetapi selepas itu saya terlalu berhati-hati," jelas Martin.
"Nampak okey di tempat kesembilan. Kedudukan yang baik, jadi saya tunggu sahaja. Tetapi sebaik sahaja saya fikir mahu bertenang, semua orang mula menghimpit saya!
"Saya jatuh semula ke tempat ke-14, jadi saya cuba bangkit semula. Saya catat 29.9 saat. Itu tidaklah teruk, ia adalah pusingan terpantas ketika itu (pusingan ke-8), tetapi berada di belakang kelompok pelumba sangat-sangat sukar.
"Saya tidak biasa berada dalam situasi itu, jadi saya bergelut. Saya juga kurang pengalaman pada dua pusingan awal. Saya terlepas peluang untuk lebih agresif menentang pelumba lain.
"Saya pasti di Hungary hujung minggu ini, saya akan lebih agresif pada pusingan awal," katanya lagi.
Harapan Martin untuk menamatkan perlumbaan dalam kelompok 10 terbaik musnah apabila dia terjatuh di pertengahan saingan, namun bernasib baik tidak mengalami kecederaan serius.
"Saya sudah mula bergelut sejak pusingan kedua dengan tekanan tayar depan yang terlalu tinggi dan sukar untuk mengawal motosikal.
"Sekarang saya boleh sahkan kecederaan saya dari Qatar sudah pulih 100 peratus," katanya.