London: Bekas pemandu McLaren, David Coulthard berkata, adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan persaingan antara Lando Norris dan Oscar Piastri akan memuncak pada suatu ketika apabila kedua-duanya bersaing merebut gelaran dunia Formula Satu (F1) musim ini.
McLaren dianggap memiliki barisan pemandu paling seimbang di grid tahun ini, dengan hanya sembilan mata memisahkan pendahulu kejuaraan, Piastri dan rakan sepasukannya yang lebih berpengalaman, Norris ketika saingan berehat pertengahan musim.
Setakat ini, pasukan berpangkalan di Woking itu berjaya mengawal ketegangan, termasuk insiden perlanggaran antara kedua-dua pemandu di Kanada yang segera diredakan oleh pihak pengurusan.
Namun, apabila perebutan kejuaraan semakin sengit pada separuh kedua musim, risiko ketegangan antara Piastri dan Norris meningkat, apatah lagi kedua-duanya masih berusia 20-an.
Menyentuh aspek psikologi ketika bersaing dengan rakan sepasukan dalam F1, Coulthard berkata, tiada pemandu yang sanggup berkompromi walau seinci dalam perebutan gelaran, kerana ia mungkin peluang terakhir mereka untuk bergelar juara dunia.
"(Rakan sepasukan) 100 peratus. Itu istilah yang mengelirukan. Dia bukan kawan anda. Dialah pesaing terbesar anda," kata Coulthard dalam podcast Indo Sport.
"Kejayaan anda adalah kegagalannya dan begitu juga sebaliknya. Malah, anda akan rasa puas bila dia gagal.
"Jadi, dalam hal ini, mana-mana atlet pasti faham bahawa anda tidak boleh merasa gembira melihat pesaing anda berjaya ketika anda cuba menewaskan mereka. Anda boleh mengagumi mereka, berjabat tangan dan tunjukkan rasa hormat, tetapi jika anda senang hati pesaing anda mengalahkan anda, maka anda tidak 'diprogramkan' dengan betul.
"Ia adalah hubungan yang sangat sukar untuk diuruskan, dan antara tugas paling sukar buat prinsipal pasukan, sama ada Ron Dennis dengan Alain Prost dan Ayrton Senna, Nigel Mansell dan Nelson Piquet di bawah Frank Williams, atau Nico Rosberg dan Lewis Hamilton di Mercedes.
"Situasi sebegini memang sukar dan tidak dapat dielakkan ia akan berlaku di McLaren, seperti yang kita lihat dengan Lando dan Oscar.
"Kita sudah nampak sedikit tanda-tandanya. Salah seorang daripada mereka akan bergelar juara dunia tahun ini dan mungkin itu satu-satunya peluang mereka.
"McLaren tahun depan mungkin tidak kompetitif. Tahun depan F1 akan berbeza dengan perubahan peraturan. Ia masih dipanggil F1, tetapi ini mungkin peluang terakhir mereka," katanya.