Andre Anura raih gangsa di Uzbekistan
Oleh Helmi Talkah - Ogos 18, 2025 @ 4:17pm

Firdaus (tengah) bersama Andre dan Ashikin. Foto Ahmad Firdaus Salim
KUALA LUMPUR: Andre Anura Anuar mendapat tonik terbaik dalam persiapan menuju Sukan SEA di Thailand hujung tahun ini selepas meraih pingat gangsa acara lompat jauh pada Kejohanan Silk Road to Tokyo di Tashkent, Uzbekistan, semalam.
Atlet berusia 25 tahun itu melakukan lompatan sejauh 7.70 meter untuk menamatkan saingan di tempat ketiga di belakang wakil Korea Selatan, Sung Jin Suok yang meraih emas dengan catatan 7.79m, manakala perak menjadi milik pelompat Jepun, Koki Fujiwara (7.76m).
Kejayaan itu hadir tepat pada masanya buat Andre selepas prestasi hambar di Terbuka India dua minggu lalu apabila hanya menduduki tempat kelima dalam acara lompat kijang dengan catatan 15.50m.
Ia adalah penampilan keduanya dalam lompat jauh tahun ini selepas mencatat 7.43m pada Siri Cahya Mata di Kuala Lumpur, Mei lalu.
Jurulatih kebangsaan, Ahmad Firdaus Salim menyifatkan pencapaian di Tashkent sebagai perkembangan positif kerana Andre memang berkeupayaan bersaing dalam dua acara.
"Dia pada asalnya ialah atlet lompat jauh. Perancangan tahun ini adalah untuk dia beraksi dalam kedua-dua acara dan Andre akan cuba beri yang terbaik dalam lompat jauh selain misi mempertahankan emas dalam lompat kijang.
"Untuk Andre, pencapaian ini adalah petanda baik menjelang Sukan SEA. Kami akan menilai lagi aspek yang perlu diperbaiki.
"Buat masa ini, fokus terdekat ialah Terbuka Malaysia sebelum memberi tumpuan penuh kepada Sukan SEA," katanya.
Andre sebelum ini meraih emas lompat kijang pada dua edisi Sukan SEA berturut-turut di Hanoi 2021 dan Phnom Penh 2023, selain pernah meraih perak lompat jauh di Manila 2019.
Dalam pada itu, seorang lagi atlet bimbingan Firdaus, Nurul Ashikin Abas turut menyerlah apabila merangkul gangsa dalam acara lompat jauh wanita.
Ashikin melakukan lompatan sejauh 5.87m untuk mengatasi rakan senegara, Maritza Ferrer Amstrong yang mencatat rekod peribadi 5.86m.
Emas acara itu dimenangi atlet Uzbekistan, Shariffa Davronova (6.14m), manakala perak menjadi milik rakan senegaranya, Roksana Khudoyariva (5.97m).
"Untuk Ashikin, kejohanan ini memberi pendedahan berguna terutama bagi memperbaiki larian permulaan supaya dia dapat lakukan lebih baik dalam lompat kijang.
"Dia juga biasanya cemerlang di kejohanan luar negara, membuktikan persiapan mentalnya berada pada tahap baik," kata Firdaus.
https://www.bharian.com.my/sukan/olahraga/2025/08/1434814/andre-anura-raih-gangsa-di-uzbekistan
|