Cordoba: Dua try lewat permainan daripada Samisoni Taukei'aho memastikan New Zealand menewaskan Argentina 41-24 dalam aksi Kejohanan Ragbi 2025, sekali gus merampas kembali ranking nombor satu dunia, awal pagi tadi.
Skuad All Blacks mendahului 31-10 pada separuh masa pertama, namun terpaksa bertahan daripada kebangkitan tuan rumah sebelum mengesahkan kemenangan menerusi enam try berbanding tiga.
Kemenangan itu menamatkan penantian New Zealand untuk kembali bergelar pasukan nombor satu sejak 2021, selepas memintas Afrika Selatan yang dikejutkan Australia 38-22 di Johannesburg.
Sayap Sevu Reece turut menyerlah dengan dua try, manakala tonggak fly half Beauden Barrett menyumbang 11 mata hasil sepakan dan mengawal perlawanan dengan taktikal bijak.
Kapten All Blacks, Scott Barrett mengakui berpuas hati dengan kemenangan tetapi mengingatkan rakan sepasukannya supaya lebih konsisten.
"Kami bincang untuk bermula dengan baik dan itu berjaya dilakukan. Separuh masa kedua pula agak perlahan dengan sedikit masalah disiplin yang membenarkan Argentina bangkit. Mujur pemain yang menamatkan perlawanan dapat kembali menguasai keadaan dan memastikan kemenangan," katanya.
Argentina cuba bangkit menerusi Tomas Albornoz yang mengutip 14 mata termasuk satu try, selain Joaquin Oviedo, namun gagal menamatkan rekod tanpa kemenangan di laman sendiri menentang New Zealand yang kini berlanjutan kepada 15 perlawanan.
Selepas menewaskan Perancis 3-0 dalam siri jelajah Jun lalu, kemenangan ini menyaksikan All Blacks terus mengekalkan rekod tanpa kalah tahun ini.
Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi di Buenos Aires minggu depan.