Helang Putih maskot SUKMA XXII
Oleh Ruwaida Md Zain - Ogos 16, 2025 @ 12:15pm

Maskot Helang Putih diperkenalkan sempena Sukan Malaysia (SUKMA) ke- 22 Selangor pada Pelancaran Logo, Maskot, Tema bagi SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026 di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 hari ini. - Bernama
SHAH ALAM: Selangor mengekalkan Helang Putih yang pernah menjadi maskot Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor pada 1998 bagi penganjuran temasya SUKMA Selangor XXII dan Para SUKMA Selangor 2026.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, pemilihan maskot Helang Putih yang diberi nafas baru itu direka dalam bentuk pasangan jantina berbeza yang seimbang dan serasi.
"Kita mengambil semangat Helang Putih yang pernah menjadi maskot pada SUKMA Selangor pada 1998 dan dikekalkan sehingga hari ini. Cuma kita memberikan satu nafas baru kepada reka bentuk menarik, melambangkan kegagahan sebagaimana dilancarkan.
"Kalau sebelum ini mungkin reka bentuk 2D. Kali ini kita sesuaikan dengan teknologi dan juga perkembangan masa kini. Lebih segar dan lebih meyakinkan. Kita memang tidak menerima cadangan binatang lain atau objek lain untuk maskot selain Helang Putih.
"Helang Putih ini terdapat di kawasan perairan ataupun di laut di negeri Selangor. Jika kita ke pantai seperti Morib di Kuala Langat atau di Kuala Selangor kita boleh nampak burung Helang Putih," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran logo, maskot dan tema SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026 oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari di Dewan Raja Muda Musa di sini malam tadi.
Mengulas mengenai logo SUKMA Selangor XXII pula katanya, logo yang dicipta adalah satu simbol obor yang mengangkat tema kejohanan sukan berkenaan.
"Reka bentuk obor itu, kalau kita lihat di bahagian atas adalah burung Helang Putih kita. Burung helang yang kita umpamakan sebagai api. Di bawahnya angka Roman XXII, itu simbolik SUKMA ke-22 Jadi tidak ada apa-apa sebarang isyarat tersirat," katanya.
Pada masa sama Mohd Najwan berkata, kerajaan negeri menyemarakkan SUKMA Selangor XXII dengan pencarian sekitar 3,000 sukarelawan menjelang persiapan temasya itu dari 15 hingga 24 Ogos tahun depan yang bertemakan 'Rentak Kita, Aksi Kita'.
Katanya, pencarian ini akan diselaraskan oleh Sekretariat SUKMA ke-22 Selangor 2026 dengan tumpuan kepada anak muda Selangor di peringkat sekolah menengah dan universiti.
https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2025/08/1433879/helang-putih-maskot-sukma-xxii
|