Chong Wei 'beraksi' semula bersama BAM
Oleh Khairil S Iswan - Ogos 16, 2025 @ 3:55pm

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara. NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
KUALA LUMPUR: Legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei membuat kepulangan semula secara rasmi ke Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila dilantik sebagai Ahli Majlis badan induk itu, hari ini.
Pelantikan itu diumumkan oleh Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara.
Tengku Zafrul berkata, pelantikan Chong Wei adalah sebahagian daripada barisan berpengaruh yang diyakini mampu merealisasikan visi besarnya dan akan diberi peranan khusus membantu dalam hal ehwal pembangunan pemain.
"Kita mempunyai kuota untuk melantik lima ahli majlis daripada kalangan bukan wakil negeri. Jadi, saya memberikan empat nama. Pertama, yang tidak perlu diperkenalkan lagi, Datuk Seri Lee Chong Wei," kata Tengku Zafrul ketika membentangkan pelan strategik komprehensif 'Tangkis 2030' mengenai aspirasi dan hala tuju baharu badminton negara.
Turut dilantik bersama Chong Wei ialah tiga lagi tokoh korporat terkemuka iaitu Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) , Tan Sri Gooi Hoe Soon (Kewangan), bekas CEO NTV7, Datuk Seri Shazalli Ramly (Penjenamaan dan Strategi Media) dan Peguam Datuk Sunil Abraham (Perundangan).
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul menyatakan pelantikan ini bukan sekadar simbolik, tetapi menunjukkan BAM serius membawa tokoh berpengalaman dalam menentukan hala tuju badminton negara.
"Apabila beliau (Chong Wei) bersuara soal persediaan atlet, ia lahir daripada pengalaman sebenar sebagai bekas pemain nombor satu dunia dan itu akan memberi kesan besar.
"BAM perlukan suara seperti ini supaya hala tuju baharu kita tidak hanya cantik di atas kertas, tetapi benar-benar diterjemahkan di gelanggang," katanya.
Tengku Zafrul dalam pada itu turut menggariskan tiga sasaran utama dalam jangka masa terdekat iaitu memenangi Piala Thomas pada 2026, meraih pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Los Angeles 2028 serta memastikan ada pemain negara menduduki ranking nombor satu dunia dalam sekurang-kurangnya tiga daripada lima kategori.
Sebagai langkah segera, Tengku Zafrul turut mengumumkan pelancaran semula program 'Road to Thomas Cup' bagi menyemarakkan sokongan daripada semua pihak termasuk penaja dan komuniti badminton.
Kata Tengku Zafrul, program seumpama itu pernah membuahkan hasil ketika Malaysia menjulang Piala Thomas pada edisi 1992.
https://www.bharian.com.my/sukan/raket/2025/08/1433970/chong-wei-beraksi-semula-bersama-bam
|