Lima perkara menarik Liga Perdana Inggeris
Ogos 12, 2025 @ 6:53pm

Antara beberapa muka baharu yang akan mewarnai kancah bola sepak EPL musim ini termasuk Viktor Gyokeres, Benjamin Sesko dan Florian Wirtz. – Foto premierleague.com
LONDON: Liverpool memulakan misi memburu gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) ke-21 awal pagi Sabtu ini dengan skuad baharu kendalian Arne Slot diramal sebagai pilihan utama untuk mempertahankan kejuaraan.
Arsenal dan Manchester City menjadi pencabar utama untuk menamatkan penguasaan Liverpool, manakala Chelsea dan Manchester United pula berdepan persoalan besar yang perlu dijawab.
Berikut lima perkara menarik menjelang sepak mula musim 2025-26:
Juara Liverpool dalam kedudukan terbaik Apabila Liverpool menerima kunjungan Bournemouth pada aksi pembukaan liga, The Reds akan mempamerkan skuad baharu yang dibentuk dengan perbelanjaan besar dan sarat dengan harapan tinggi.
Liverpool kali terakhir memenangi gelaran liga secara berturut-turut pada musim 1982-83 dan 1983-84.
Jika berjaya mengulangi pencapaian era Kenny Dalglish, Ian Rush dan rakan-rakan, ia akan membawa kelab Anfield mengatasi Manchester United untuk menjadi pemegang tunggal gelaran liga terbanyak di England.
Dalam usaha mengejar sasaran itu, sambil bersaing dalam Liga Juara-Juara, pengurus Arne Slot membuat pelaburan besar dengan membawa masuk Florian Wirtz, Hugo Ekitike, Jeremie Frimpong dan Milos Kerkez dalam perbelanjaan musim panas bernilai £256 juta (RM1.45 bilion).
Darwin Nunez dan Luis Diaz sudah meninggalkan kelab, tetapi Slot melihat tanda positif daripada barisan serangan baharu yang mungkin turut diperkuat penyerang Newcastle, Alexander Isak.
"Musim lalu kami banyak menguasai bola tetapi ia tidak selalu menghasilkan situasi yang menjanjikan. Sekarang kami lebih baik dalam mencipta peluang berbanding keseluruhan musim lalu," katanya.
Mampukah Arsenal akhirnya melangkah garisan penamat? Selepas menamatkan saingan di tangga kedua tiga musim berturut-turut, Arsenal percaya mereka kini bersedia untuk menamatkan penantian panjang menjulang trofi EPL.
Skuad kendalian Mikel Arteta terlepas peluang keemasan dalam perebutan gelaran pada 2023 dan 2024, manakala musim lalu pula dibelenggu kecederaan hingga Liverpool menamatkan musim 10 mata di depan mereka.
Arsenal kali terakhir bergelar juara liga pada 2004 dan satu-satunya trofi utama di bawah Arteta adalah Piala FA 2020.
Dengan perbelanjaan lebih £180 juta (RM1.02 bilion) untuk mendapatkan Viktor Gyokeres, Martin Zubimendi, Christian Norgaard, Noni Madueke dan Kepa Arrizabalaga, Arteta yakin The Gunners mampu mencapai sasaran.
"Kami sudah terlalu hampir dalam beberapa musim lalu. Kami tahu apa sasaran kami. Terdapat keyakinan besar terhadap kemampuan kami untuk mencapainya," katanya.
City berdepan jalan berliku untuk kembali ke puncak Pep Guardiola menghabiskan musim panas dengan usaha gigih untuk menyekat kemerosotan Manchester City.
Meneruskan rombakan besar yang bermula pada jendela perpindahan Januari lalu, Guardiola membawa masuk Rayan Ait-Nouri, Rayan Cherki, Tijjani Reijnders dan James Trafford.
Dengan Kevin De Bruyne dan Kyle Walker meninggalkan kelab serta Jack Grealish turut dalam proses keluar, ia menjadi musim panas penuh perubahan di Stadium Etihad.
Sama ada urus niaga besar-besaran Guardiola mampu membawa City kembali ke puncak selepas musim tanpa trofi pertama sejak 2017 masih menjadi persoalan.
Juara enam kali dalam lapan musim terakhir itu kelihatan rapuh ketika merosot ke tangga ketiga musim lalu, manakala kebimbangan turut timbul terhadap ketahanan tonggak tengah, Rodri selepas kecederaan lutut serius.
Chelsea juara dunia pasang impian besar Selepas kejutan menjuarai Piala Dunia Kelab, Chelsea mahu membawa momentum itu ke kancah domestik.
Skuad bimbingan Enzo Maresca pulang dari Amerika Syarikat dengan keyakinan tinggi selepas menewaskan juara Liga Juara-Juara, Paris Saint-Germain 3-0 di final, tetapi persoalannya adakah mereka benar-benar mampu bersaing?
Musim lalu, The Blues mencatat purata umur kesebelasan utama paling muda sepanjang sejarah EPL.
Walaupun melalui musim yang bergelora, Chelsea menamatkan saingan di tangga keempat untuk layak ke Liga Juara-Juara dan turut memenangi Liga Konferens UEFA.
Kini, bintang muda seperti Cole Palmer dan Enzo Fernandez disertai pemain baharu Joao Pedro, Liam Delap, Jamie Gittens, Estevao Willian dan Jorrel Hato bagi memburu sasaran lebih tinggi.
United mahu tebus duka musim lalu Selepas menamatkan musim di kedudukan terburuk sejak 1973-74, Manchester United berharap rombakan keseluruhan barisan serangan mampu mengubah nasib mereka.
Skuad Ruben Amorim menamatkan EPL di tangga ke-15 dan tewas 0-1 kepada Tottenham pada final Liga Europa, kekalahan yang menafikan tiket ke Liga Juara-Juara.
Ia penutup yang sesuai untuk musim penuh keaiban dan Amorim kini berada di bawah tekanan besar selepas membelanjakan £200 juta (RM1.13 bilion) untuk mendapatkan penyerang Benjamin Sesko, Bryan Mbeumo dan Matheus Cunha.
Marcus Rashford dipinjamkan ke Barcelona, manakala Alejandro Garnacho, Jadon Sancho dan Rasmus Hojlund dijangka meninggalkan Old Trafford ketika Amorim cuba membangunkan semula kelab gergasi yang kian lena itu.
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2025/08/1432374/lima-perkara-menarik-liga-perdana-inggeris
|