Sepak takraw sasar dua emas di Sukan SEA Thailand
Oleh Khairil S Iswan - Ogos 12, 2025 @ 5:25pm

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Mohd Sumali Reduan bercakap pada pemberita selepas hadir Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet Sukan SEA Thailand 2025 di Wisma MOM hari ini. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Skuad sepak takraw negara meletakkan sasaran dua pingat emas menerusi acara regu dan kuadran lelaki pada temasya Sukan SEA 2025 di Thailand, hujung tahun ini.
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, sasaran itu realistik berdasarkan rekod dan prestasi semasa pemain, selain menyasarkan pingat perak dan tidak menolak kemungkinan elemen kejutan dalam acara lain.
Sumali berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet ke Temasya SEA ke-33 Thailand 2025, hari ini yang menyaksikan PSM menyenaraikan senarai akhir 33 pemain - 18 lelaki dan 15 wanita - yang akan membawa cabaran negara di bawah Kategori A di Thailand.
"Berdasarkan rekod terkini dan sebelum ini, kita sasarkan emas untuk acara regu dan kuadran lelaki. Acara beregu campuran juga berpotensi untuk sampai ke final dan sekurang-kurangnya meraih perak," kata Sumali.
Mengulas mengenai saiz skuad yang besar, Sumali menjelaskan ia adalah langkah strategik bagi mengelakkan pemain keletihan kerana peraturan pertandingan mengehadkan seseorang pemain untuk beraksi tidak lebih daripada dua acara.
"Sebab itu kita perlukan 18 pemain lelaki dan 15 wanita. Pemain untuk acara regu, kuadran dan beregu campuran mesti orang yang berlainan. Kita tak boleh harapkan seorang pemain beraksi dalam banyak acara," katanya.
Dalam pada itu, Sumali menyuarakan kebimbangan terhadap isu penjadualan perlawanan yang disifatkannya 'cacamarba' ketika Piala Raja Thai yang berlangsung di Hatyai, Songkhla, bulan lalu dan berharap ia tidak berulang di Thailand.
Sumali berkata, beliau sudah menyuarakan kekecewaannya dalam kongres Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) dengan menegaskan jadual padat sehingga perlawanan berlanjutan ke awal pagi menjejaskan momentum dan mendedahkan pemain kepada risiko kecederaan.
https://www.bharian.com.my/sukan/lain-lain/2025/08/1432342/sepak-takraw-sasar-dua-emas-di-sukan-sea-thailand
|