Georgetown: Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman, Datuk Azizee Ismail dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Upacara Serah Terima Tugas berkenaan berlangsung di Mess Pegawai Kanan Polis Pulau Pinang, Jalan Lahat di sini, disaksikan Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid.
Penyerahan tugas dibuat Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin.
Pada majlis berkenaan, Abdul Aziz turut memakaikan pangkat Komisioner Polis kepada Azizee.
Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu menggantikan Datuk Hamzah Ahmad yang kini dilantik sebagai Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
Majlis turut menyaksikan serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Kontinjen Pulau Pinang, Datin Roslina Mohd Razak daripada Datin Wan Norazah Wanchik sambil disaksikan Pengerusi Perkep Jabatan Pengurusan, Datin Seri Selmiah Tuan Ibrahim.
Azizee berkata, beliau akan berusaha bagi memastikan keamanan dan ketenteraman awam di negeri itu dikekalkan selain berusaha mempertingkatkan keselamatan negeri.
"Saya dimaklumkan kes jenayah ketika ini menurun dan kita akan kekalkan. Kalau boleh, akan turunkan lagi," katanya ketika ditemui media selepas majlis itu.
Azizee memulakan kerjaya sebagai Inspektor Polis di Jabatan Logistik dan Teknologi sebagai Pegawai Pembangunan, pada tahun 1993.
Beliau menggalas pelbagai jawatan penting termasuk Ketua Unit Projek (Pengurusan Fasiliti), Ketua Jabatan Logistik dan Teknologi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang serta Pegawai Turus Pembangunan dan Penyelenggaraan di jabatan sama sepanjang hampir 32 tahun berkhidmat.
Azizee sebelum ini memegang jawatan Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran), Jabatan Pengurusan dengan pangkat Deputi Komisioner Polis sejak 22 Julai 2024.
Kepakaran dalam bidang logistik, pengurusan fasiliti serta pembangunan teknologi menjadikannya antara pegawai kanan yang dihormati dalam pasukan.
Kecekapan dan pengalaman luas Azizee pada pelbagai peringkat perjawatan menjadi aset penting dalam mengukuhkan keupayaan serta kecekapan operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM).