'DrSam Presiden Pas', 'Dokter Seng' antara akaun palsu guna identiti MB Terengganu
NORHASPIDA YATIM
31 Julai 2025 02:20pm

Akaun 'DrSam Presiden Pas' dan 'Dokter Seng' yang dikenal pasti menyebarkan kenyataan palsu dan berunsur fitnah terhadap MB Terengganu.
KUALA TERENGGANU – Beberapa akaun media sosial palsu yang menggunakan nama dan gambar Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dikesan aktif menyebarkan kenyataan berunsur fitnah dan hasutan.
Antara akaun yang dikenal pasti ialah 'DrSam Presiden Pas' dan 'Dokter Seng', yang didakwa menggunakan identiti palsu untuk mengelirukan masyarakat serta mencetuskan kebencian.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pentadbir media sosial rasmi beliau pada malam Rabu, pihaknya menafikan sekeras-kerasnya sebarang kaitan dengan kandungan yang dimuat naik oleh akaun-akaun terbabit.
“Pihak kami menafikan sekeras-kerasnya sebarang kaitan dengan kandungan yang dimuat naik oleh akaun-akaun ini serta mungkin ada lagi akaun lain yang tidak diketahui,” jelas kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, tindakan tegas sedang diambil bagi memastikan perkara itu ditangani secara menyeluruh demi menjaga maruah individu serta keharmonian masyarakat.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpedaya dan tidak menyebarkan fitnah daripada sumber tidak sahih.
Mereka juga diseru untuk bersama-sama menolak budaya hasutan serta menyemai sikap bertanggungjawab khususnya melalui penggunaan media sosial.
“Pihak kami juga menyeru orang ramai agar tidak terpedaya, tidak menyebarkan fitnah dan bersama-sama menolak budaya hasutan,” kata kenyataan itu lagi.
https://www.sinarharian.com.my/article/741224/edisi/terengganu/drsam-presiden-pas-dokter-seng-antara-akaun-palsu-guna-identiti-mb-terengganu
|