Terengganu penyumbang utama subsektor penternakan negara
NORHASPIDA YATIM
30 Julai 2025 08:27pm

Azman (tengah) bersama Mohd Uzir (kanan) meninjau reruai pameran sempena Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Peringkat Negeri Terengganu di Kuala Terengganu, pada Rabu.
KUALA TERENGGANU - Terengganu muncul sebagai penyumbang tertinggi bagi subsektor penternakan Malaysia apabila mencatatkan 25.7 peratus daripada keseluruhan 46,781 pegangan ternakan di seluruh negara.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Datuk Dr Azman Ibrahim berkata, data tersebut berdasarkan statistik Laporan Interim Banci Pertanian 2024.
Menurutnya, pencapaian itu membuktikan sumbangan signifikan negeri ini dalam memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara.
"Bancian ini penting untuk mendapatkan data yang tepat serta gambaran menyeluruh terhadap struktur pertanian negeri, termasuk dalam bidang tanaman, ternakan, perikanan, perhutanan dan pembalakan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Peringkat Negeri Terengganu di sini, pada Rabu.
Hadir sama, Ketua Perangkawan Malaysia merangkap Pesuruhjaya Banci, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.
Dalam perkembangan sama, Azman berkata, sebanyak 73,051 pegangan pertanian direkodkan di seluruh Terengganu dengan 99.1 peratus daripadanya merupakan pegangan individu dan selebihnya pegangan oleh pertubuhan.
"Subsektor tanaman mencatatkan jumlah pegangan tertinggi iaitu 58,435 diikuti ternakan (12,018), perikanan tangkapan (3,013), akuakultur (988) serta perhutanan dan pembalakan (195).
"Bancian turut merekodkan keluasan bertanam bagi subsektor tanaman sebanyak 227,000 hektar dengan tanaman utama ialah kelapa sawit, getah dan padi, manakala 195,300 hektar daripadanya telah dituai," jelas beliau.
Dalam pada itu, katanya, dari segi pengeluaran, subsektor tanaman menyumbang 3.6 juta tan metrik pada tahun 2023, manakala subsektor ternakan mencatat 13.5 juta ekor haiwan hidup, lima juta biji telur ayam/itik, 703,600 liter susu segar dan 30,100 kilogram produk sampingan seperti madu serta sarang burung walet.
Tambah beliau, perikanan tangkapan pula menyumbang 41,900 tan metrik, akuakultur (12,500 tan metrik) dan 94.1 juta ekor baka serta ikan hiasan, sementara aktiviti pembalakan menghasilkan 390,300 meter padu dan hasil hutan bukan kayu sebanyak 48,200 kilogram.
"Nilai jualan keseluruhan hasil pertanian negeri Terengganu direkodkan sebanyak RM5.39 bilion, dengan subsektor tanaman menyumbang RM4.03 bilion, ternakan RM403.72 juta, perikanan RM438.89 juta, akuakultur RM251.54 juta dan pembalakan serta hasil hutan bukan kayu sebanyak RM265.87 juta.
"Dari segi demografi, 75 peratus pengusaha individu ialah lelaki, manakala hampir 40 peratus berusia 60 tahun dan ke atas. Etnik Bumiputera pula mencakupi 99 peratus daripada keseluruhan pengusaha di negeri ini," ujar beliau.
DOSM memaklumkan, laporan penuh bancian dijangka diterbitkan pada suku keempat 2025 dan pihaknya merakamkan penghargaan kepada semua petani, penternak, nelayan serta agensi yang memberi kerjasama menjayakan bancian itu.
Dalam majlis sama, turut diumumkan bahawa Malaysia kini menduduki tempat pertama dalam laporan Open Data Inventory (ODIN) 2024/25, mengatasi 198 negara, selain diumumkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN ke-15 sempena Kepengerusian ASEAN 2025.
https://www.sinarharian.com.my/article/741121/edisi/terengganu/terengganu-penyumbang-utama-subsektor-penternakan-negara
|