Kelantan rakam penghargaan polis serbu perjumpaan gay
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim - Julai 17, 2025 @ 12:28pm
Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan
KOTA BHARU: Kelantan merakamkan penghargaan atas tindakan pantas polis menggagalkan perjumpaan maksiat membabitkan kumpulan gay di bandar ini bulan lalu.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata usaha ini mencerminkan kesungguhan pihak berkuasa dalam menjaga maruah agama, memelihara ketenteraman awam serta mempertahankan nilai hidup masyarakat yang berlandaskan syariat Islam.
"Kerajaan negeri tidak pernah mengiktiraf sebarang bentuk budaya songsang yang bertentangan dengan Islam. Amalan lesbian, gay, bisexual dan transgender (LGBT) adalah satu kemungkaran nyata yang mencabar fitrah, merosakkan akhlak dan menggugat keharmonian sosial.
"Dalam usaha membendung kemungkaran, kerajaan negeri sudah menggubal dan menguatkuasakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) EKJS Kelantan 2019 sebagai instrumen perundangan untuk menangani kesalahan syariah, termasuk perlakuan liwat, musahaqah dan perbuatan tidak bermoral lain yang mencemarkan kesucian hidup beragama.
"Walaupun enakmen ini pernah menghadapi cabaran perundangan, kerajaan negeri bertekad meneruskan usaha meminda dan memperkukuh peruntukan itu agar lebih berkesan dalam membendung kemungkaran dan menegakkan hukum Allah," katanya dalam kenyataan di Facebook.
Beliau berkata, bagi memperkukuh tindakan pencegahan dan penguatkuasaan, kerajaan negeri sudah menubuhkan Jawatankuasa Menangani Gejala Sosial dan Maksiat yang membabitkan pelbagai agensi strategik.
"Jawatankuasa ini berperanan menyelaras pendekatan menyeluruh dan bersifat antara agensi dalam menangani keruntuhan moral dan tingkah laku menyimpang yang semakin berani menzahirkan diri dalam masyarakat.
"Pada masa sama, kita menggesa Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya mengambil langkah tegas menyekat akses kepada platform aplikasi digital yang menyuburkan budaya maksiat dan penyimpangan seksual.
"Ruang digital tidak wajar dibiarkan menjadi medan tanpa kawalan yang merosakkan pemikiran dan akhlak masyarakat, khususnya golongan muda," katanya.
Terdahulu media melaporkan, perjumpaan kumpulan gay di sebuah rumah banglo di Jalan Kemumin, di sini, yang dipercayai disertai hampir 100 gay diserbu pihak polis.
Serbuan yang dilakukan jam 1 pagi pada pertengahan bulan lalu itu turut merampas ratusan kondom dan ubat HIV hasil risikan dan maklumat awam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, bagaimanapun berkata ketika serbuan dilakukan, puluhan lelaki yang lain sudah pulang dan 20 lelaki yang ditahan berusia 20 hingga 30 tahun.
https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/07/1421008/kelantan-rakam-penghargaan-polis-serbu-perjumpaan-gay
|