'Belum ada pengesahan Ija meninggal, polis masih mencari' Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin (foto kecil) masih hilang selepas keretanya ditemui terjunam di Sungai Tui, Bukit Kepong, di sini. - Foto ihsan bomba
MUAR: "Belum ada pengesahan abang saya meninggal dunia. Saya minta jasa baik semua pihak padam hantaran itu," kata Tengku Abdul Aziz Tengku Zainudin, 30.
Abdul Aziz adalah adik kepada Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, yang dilapor hilang selepas kereta dinaiki terjunam ke Sungai Tui, Bukit Kepong, di sini, hari ini.
"Masih belum ada kesahihan dan polis masih mencari abang saya," katanya. Bercerita mengenai kejadian menimpa abangnya itu, Abdul Aziz berkata dia pada mulanya menganggap ia gurauan keluarga memandang abangnya itu kerap membuat kejutan.
Katanya, kali terakhir bertemu abangnya jam 2 petang semalam ketika masing-masing bergerak dari Johor Bahru ke Parit Jawa dengan menaiki kereta berasingan.
"Sebelum itu, kami bertemu kerana ada urusan perniagaan dan kami kemudiannya bergerak ke lokasi berlainan memandangkan ada perkara perlu diselesaikan.
"Ija (panggilan abangnya) memberitahu dia mahu ke bengkel rakannya di Parit Jawa dan kami dimaklumkan kali terakhir dapat menghubunginya jam 4 petang semalam. Selepas itu, kami gagal menghubunginya sehingga kini," katanya.
Menurutnya lagi, lokasi penemuan kereta abangnya hanya beberapa kilometer sebelum mereka bertemu sebelum itu. Kereta milik Nizaruddin ditemui di Sungai Tui, Bukit Kepong, di sini. - Foto ihsan bomba"Selepas gagal dihubungi, kami cuba menelefon rakan bertanyakan mengenai Ija, tapi mereka memberitahu Ija tidak datang ke bengkel," katanya.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz mengesahkan kejadian itu dan berkata, pihaknya dengan bantuan Bomba dan Penyelamat Pagoh dan Muar dalam proses menaikkan kereta dari sungai itu.
Sehingga kini, tiada mangsa ditemui dan pasukan penyelamat giat menjalankan operasi pencarian lelaki itu.
|