
WASHINGTON: Angka korban akibat banjir kilat di Texas meningkat kepada 91 orang, lapor agensi berita Jerman dpa memetik kenyataan Rumah Putih pada Isnin.
Di Kerr County, pihak berkuasa mengesahkan 75 kematian, termasuk kanak-kanak — kebanyakannya di sebuah kem musim panas untuk kanak-kanak perempuan.
Pasukan penyelamat masih meneruskan operasi mencari mangsa yang hilang, namun usaha mereka dihalang oleh hujan berterusan, banjir yang belum surut serta gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan.
Tragedi di Kem Mystic itu menarik perhatian seluruh negara, selepas 27 kanak-kanak dan pembimbing maut, sementara beberapa lagi masih hilang.
Kem itu yang ditubuhkan pada 1926, menempatkan lebih 750 kanak-kanak ketika banjir melanda selepas hujan lebat.
“Hati kami turut berduka bersama keluarga yang sedang menanggung tragedi yang tidak terbayangkan ini. Kami sentiasa mendoakan mereka.
“Kami juga sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa tempatan dan negeri yang sedang mengerahkan pelbagai sumber bagi mencari anak-anak kami yang masih hilang,” menurut kenyataan pihak pengurusan kem.
Banjir yang melanda pada awal pagi Jumaat berlaku ketika ribuan orang berkelah di kawasan luar bandar berhampiran sungai sempena cuti panjang 4 Julai.
Menurut pegawai tempatan, lebih 850 orang berjaya diselamatkan berhampiran kawasan kem, manakala lapan orang dilaporkan cedera.
|