Kes buli: 5 pelajar MRSM dibebas dengan jaminan polis
Nurul Fatihah Sulaini[email protected]

GAMBAR hiasan
Besut: Lima pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Besut yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes buli pelajar Tingkatan Dua dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu, berkata, siasatan kes buli berkenaan hampir selesai dan mereka akan dibebaskan dengan jaminan polis.
Katanya, dua pelajar lagi akan dibebaskan esok.
"Keluarga pelajar terbabit akan dihubungi pegawai penyiasat kes untuk prosedur seterusnya. Siasatan masih diteruskan dengan mendapatkan laporan prestasi pelajar dan laporan perubatan.
"Kita juga turut mengesan saksi yang melihat kejadian bagi melengkapkan kertas siasatan. Seterusnya iaa akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa raya bagi tujuan arahan seterusnya," katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Katanya, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak benar hingga mengganggu siasatan.
Terdahulu media melaporkan tujuh pelajar MRSM ditahan reman bagi membantu siasatan kes buli pelajar Tingkatan Dua sekolah berkenaan.
Disiarkan pada: Jun 29, 2025 @ 3:59pm
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/06/1235273/kes-buli-5-pelajar-mrsm-dibebas-dengan-jaminan-polis
|