Kuala Lumpur: Personaliti media sosial terkenal, Ryan Bakery mengaku dunia sebagai pempengaruh bukanlah semudah yang disangka ramai.
Menurutnya, perjalanan menjadi pencipta kandungan yang konsisten memerlukan lebih daripada sekadar memasang kamera dan menunggu kandungan menjadi tular.
"Nak masuk dalam industri ini, niat kena betul. Nak jadi pempengaruh bukan semudah ABC. Banyak perkara yang perlu ditempuh, bukan hanya sekadar pacak kamera dan semua kerja terus siap.
"Cuma saya akui apa yang saya hasilkan, bukan semua orang suka. Saya tidak layan suara-suara negatif. Saya lebih memilih untuk terus menghiburkan mereka yang menyokong," katanya.
Menurutnya kekuatan seseorang pempengaruh bukan hanya terletak pada bilangan pengikut atau tontonan, tetapi pada keupayaan untuk kekal konsisten, beretika dan menyebarkan kandungan yang memberi impak positif.
Dalam pada itu, Ryan berhasrat untuk terbabit dalam dunia lakonan secara sepenuh masa bagi menguatkan jenamanya dalam industri seni.
"Itu salah satu impian saya iaitu nak jadi pelapis dalam industri seni. Saya anggap kerjaya sebagai pelakon mampu menguatkan jenama peribadi.
"Saya sentiasa cari ruang dan peluang. Kalau ada saya akan buat yang terbaik. Bagi saya, kalau terlalu selesa dengan satu pekerjaan pun ada cabarannya," katanya. - HARIAN METRO
|