Di dalam video itu, pengantin perempuan berkongsi keluarga mentuanya yang merupakan 'mat salleh' segak berbaju Melayu dan baju kurung ketika majlis resepsi berkenaan.
Difahamkan, suaminya itu berasal dari negara Eropah dan kini adalah seorang mualaf. Malah, wanita itu juga berkongsi antara momen dan adat-adat semasa di majlis mereka.
Menerusi video di akaun TikTok @yayafarhanaaaaaa, kelihatan sedang berlangsungnya sebuah majlis perkahwinannya yang diadakan di Arisya Glass House, Batu Pahat Johor.
Bercakap kepada SEISMIK, wanita yang dikenali sebagai Yaya Farhana ini memberitahu dia dan suaminya Chris, pertama kali berkenalan semasa mereka sama-sama belajar di Newcastle University, England. Malah, dia memberitahu ini sudah tahun ke sepuluh perkenalan mereka.
Ditanya mengenai penerimaan keluarganya mengenai latar belakang suaminya, Yaya memberitahu keluarganya merestui hubungan mereka dan malah menjemputnya ke rumah untuk berkenalan lebih.
Menurut Yaya, dia terbuka hati menerima Chris selepas melihat keperibadiannya yang ikhlas untuk belajar lebih mendalam mengenai Islam.
"Selepas dia balik dari UK, dia memeluk Islam tanpa memberitahu saya dan meminta izin daripada keluarga saya untuk meminang saya.
"Pada bulan Ogos 2024, dia memutuskan untuk melamar jadi saya dan selepas itu baru saya tahu dia sudah beragama Islam dan sudah sebulan mengamalkan Islam," katanya.
Yaya juga memberitahu kesemua keluarga mentuanya diterbangkan daripada England ke Batu Pahat untuk meraikan hari bahagia mereka.
Bukan itu sahaja, dia berkata keluarga barunya itu suka dengan adat di sini dan pakaian tradisional baju Melayu dan baju Kurung yang dibelikan buat mereka.
"Mereka sangat menyukainya. They say its very comfy and dengan cuaca yang panas, dia orang prefer material baju melayu kami berbanding jeans," katanya. - SEISMIK
|