CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1212|Reply: 0

Perangkap istidraj: Nikmat & azab tersirat

[Copy link]
Post time 18-5-2025 08:42 PM | Show all posts |Read mode


Istidraj merupakan salah satu konsep dalam Islam yang amat penting difahami oleh umat Islam agar tidak terpedaya dengan kelazatan dunia yang menipu. Ia bukan sekadar satu bentuk ujian, malah boleh menjadi satu bentuk azab tersirat yang membawa kepada kebinasaan rohani. Fenomena istidraj berlaku apabila seseorang itu terus diberikan nikmat oleh Allah SWT meskipun hidup dalam kemaksiatan dan kelalaian, lalu dia menyangka nikmat itu tanda keredaan Allah, sedang hakikatnya ia adalah bentuk kemurkaan yang tersembunyi.


Firman Allah SWT dalam Surah Al-An'aam ayat 44:


"Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersuka-ria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan kepada mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (daripada mendapat sebarang pertolongan)."


Ayat ini menggambarkan dengan jelas bahawa istidraj bukanlah rahmat tetapi satu bentuk 'penundaan azab' dengan memberi kelazatan dunia kepada mereka yang melupakan peringatan Allah. Golongan ini terus leka dalam dosa, menyangka bahawa segala nikmat adalah bukti bahawa Allah reda kepada mereka.


Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Ahmad menegaskan:


"Jika kamu melihat Allah memberikan dunia kepada hamba yang bermaksiat seperti yang dia inginkan, maka sesungguhnya itu adalah istidraj daripada-Nya."




Inilah perangkap istidraj - apabila kemewahan, kejayaan, dan pujian yang berterusan menyebabkan seseorang merasa selesa dengan dosa dan enggan bertaubat. Maka, istidraj bukan hanya mengandungi aspek material, malah turut membabitkan unsur mental dan rohani yang terpedaya dan terhijab daripada mengenal kebenaran.


Syeikh Ibn Atha'illah dalam kitab Taj al-'Arus menjelaskan antara dalil keburukan istidraj ialah, "Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya." (Al-Qalam: 44).


Ungkapan ini mengandungi maksud yang sangat mendalam: seseorang yang berada dalam istidraj tidak akan menyedari kedudukannya sehingga bala menimpanya secara tiba-tiba. Dia terus menyangka dirinya dalam kebaikan padahal dia sedang menuju kehancuran.


Syeikh Zarruq turut memperingatkannya:


"Takutlah kamu pada kurniaan-Nya yang berterusan untuk kamu dalam bentuk kesihatan, kelapangan, rezeki yang melimpah ruah, dan kekayaan harta benda dan rohani ketika kamu sentiasa menderhakai-Nya dalam bentuk kecuaian dan kelalaian."


Ini bermakna, bukan semua nikmat itu tanda cinta Allah. Kadang-kadang, nikmat itu menjadi sebab seseorang jauh daripada-Nya. Sebab itu para ulama menyebut bahawa istidraj lebih bahaya daripada bala yang nyata, kerana bala itu sering membawa manusia kembali kepada Allah, sedang istidraj menjerat manusia dengan keselesaan yang menipu.




Ibn Mas'ud RA menyebut tiga bentuk penipuan spiritual yang sering menimpa manusia:


1. Istidraj dengan nikmat


2. Cubaan dengan pujian


3. Tertipu dengan keaiban yang disembunyikan oleh Allah


Betapa ramai manusia yang mendapat pujian lalu dia merasa tinggi diri dan lupa bahawa semua kebaikan datang daripada Allah. Betapa ramai pula yang terus hidup dalam dosa, tetapi kerana aibnya tidak terbongkar, dia berasa selamat dan tidak mahu berubah. Semua ini termasuk dalam jerat istidraj yang boleh membawa kepada azab akhirat.


Umat Islam harus sedar bahawa istidraj bukan sekadar berlaku kepada individu, tetapi juga boleh berlaku pada skala masyarakat dan negara. Apabila masyarakat atau negara semakin jauh daripada ajaran Islam namun terus menikmati kemajuan ekonomi, kemewahan, dan kestabilan zahir, kita seharusnya bertanya: adakah ini rahmat atau istidraj?




Sejarah telah menunjukkan bagaimana kaum terdahulu seperti Kaum 'Ad, Thamud, dan Firaun yang diberikan kekuasaan, kemewahan dan teknologi yang tinggi, akhirnya dihancurkan oleh Allah kerana keangkuhan mereka. Mereka menolak kebenaran walaupun diperingatkan berkali-kali. Apabila mereka tidak mengambil peringatan, Allah membiarkan mereka tenggelam dalam nikmat dunia sehinggalah datangnya azab yang tidak terduga.


Begitu juga hari ini, jika kita melihat golongan yang hidup mewah namun terang-terangan melakukan maksiat dan kezaliman, lalu merasa tidak bersalah atau tidak perlu berubah, mungkin mereka sedang berada dalam fasa istidraj. Peringatan ini bukan untuk menghakimi orang lain semata-mata, tetapi sebagai muhasabah kepada diri sendiri.


Sebagai Muslim, kita harus sentiasa memeriksa hubungan kita dengan Allah. Jangan hanya menilai keberkatan hidup melalui harta, kejayaan, atau pujian orang. Keberkatan sebenar adalah apabila hati kita sentiasa dekat dengan Allah, hidup dalam ketaatan, dan merasa takut serta berharap hanya kepada-Nya. Jika kita menerima nikmat dalam keadaan taat, itu adalah rahmat. Tetapi jika nikmat datang bersama maksiat dan kelalaian, maka berhati-hatilah kerana itu mungkin istidraj.


Kita perlu sentiasa bertaubat, merendah diri dan tidak berasa selamat daripada azab Allah. Doa Nabi SAW yang diajarkan kepada umatnya adalah:


"Ya Allah, tunjukkilah yang benar itu jelas benar dan rezekikan kami mengikutinya. Tunjukkilah yang batil itu jelas batil dan rezekikan kami menjauhinya."


Akhir kata, awasilah nikmat yang datang ketika kita lalai. Boleh jadi ia bukan anugerah, tetapi istidraj yang menanti kehancuran. Moga kita semua sentiasa dipelihara Allah daripada tipu daya dunia yang menyesatkan.


Penulis Pengurus Pusat Kajian Syariah Darul Fitri



This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-1-2026 01:25 AM GMT+8 , Processed in 0.038083 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list