Melihat koleksi kapsul pereka fesyen berusia 23 ini membuatkan penulis tertanya-tanya mengenai karya asli yang cuba diangkatnya.
Ternyata ia bukan daripada alam semula jadi atau kritikan sosial yang biasanya dijadikan ilham si pereka fesyen.
Namun, Nurrabiatul Adawiah Haleme menjadikan teh Cina sebagai idea asal untuk menzahirkan sebuah koleksi kapsul di mata penulis amat elegan.
Jelasnya, teh China bukan sahaja mencerminkan nilai kesederhanaan, keharmonian dan penghormatan, malah memberi kesan dalam seni reka fesyen sedia untuk pakai (RTW).
Katanya, bebayang dramatik pada lengan 'puff' besar menyerlahkan keanggunan dan kelembutan, sejajar dengan cara penyediaan dan penyajian teh yang halus dan berseni.
"Tekstur teknik smoking dan teknik 'sachiko' pada skirt pula mengingatkan kepada motif anyaman atau permukaan cawan teh tradisional, menambahkan lapisan penceritaan mengenai warisan dan ketelitian dalam budaya teh.
"Penyediaan koleksi kapsul ini mengambil masa lima bulan. Ia bermula dengan proses reka bentuk yang diinspirasikan dari budaya teh Cina, di mana saya memilih warna hijau teh dan emas tanah untuk menggambarkan elemen alam dan ketenangan," katanya.
Tambahnya, lakaran awal disiapkan dengan memberi tumpuan kepada siluet moden dan dramatik seperti lengan 'puff' besar dan skirt bertekstur. Fabrik dipilih berdasarkan keperluan struktur dan tekstur, satin dan tafeta untuk bahagian atas lengan dan untuk teknik smoking pada skirt.
"Pola pakaian dibangunkan mengikut ukuran termasuk pola khas untuk lengan 'puff' dan bolero berkolar tinggi. Kain kemudian dipotong dengan teliti dan proses jahitan bermula, termasuk penyediaan 'bodice' yang kemas, teknik smoking secara manual dan pemasangan lengan yang disatukan untuk membentuk kesan alunan.
"Selepas semua komponen dijahit bersama, pakaian dipasang dengan zip tersembunyi dan disempurnakan dengan kemasan dalaman serta seterika stim untuk menonjolkan bentuk. Akhirnya, baju digayakan bersama aksesori bertema dan kasut bertumit tinggi bagi melengkapkan konsep yang seimbang antara tradisi dan moden," katanya.
Katanya, pemilihan warna dan tekstil dalam rekaan ini memainkan peranan penting dalam menyampaikan tema budaya teh Cina dengan sentuhan moden.
Warna utama yang dipilih ialah hijau teh dan emas tanah liat yang melambangkan keharmonian dengan alam, ketenangan serta kemewahan halus yang sering dikaitkan dengan seni teh dan porselin Cina.
"Warna hijau memberi rasa organik dan kesegaran, manakala emas tanah liat menambah elemen kemegahan dan kestabilan visual dalam rekaan. Dari segi tekstil, beberapa jenis kain dipilih mengikut fungsi dan estetik rekaan. Satin digunakan untuk bahagian lengan dan bolero kerana sifatnya yang tebal, berstruktur dan berkilau, sesuai untuk membentuk 'puff' besar dan bebayangt dramatik," katanya.
Nurrabiatul berkata, sasaran pemakai koleksi kapsul ini adalah individu yang menghargai perpaduan antara keindahan alam dan desain moden.
"Mereka termasuk profesional yang mengutamakan estetika, pencinta budaya Tiongkok, pengikut fesyen dan pempengaruh serta mereka yang peka dengan isu lestari," katanya.
"Cabaran dalam menyiapkan koleksi kapsul ini adalah apabila menggabungkan teknik smoking dan 'sashiko'. Teknik smoking, yang memerlukan ketelitian dalam penyusunan lipatan dan jahitan untuk menghasilkan bentuk yang harmoni, memerlukan masa dan usaha yang banyak untuk memastikan setiap potongan terhasil dengan sempurna. Keadaan itu menyukarkan untuk mencapai keseimbangan antara reka bentuk yang inovatif dan tradisional dalam masa terhad.
"Begitu juga dengan teknik 'sashiko', yang membabitkan jahitan bertulang yang rumit, memerlukan kemahiran tinggi dan perhatian terhadap setiap butiran. Menggunakan kedua-dua teknik ini memerlukan pengurusan sumber yang cekap serta ketepatan dalam memilih bahan yang sesuai untuk menghasilkan tekstur yang diinginkan," katanya. - HARIAN METRO
|