KUALA LUMPUR: Selepas kejayaan filem Qodrat yang menarik 1.7 penonton pada 2022, pengarah Indonesia, Charles Gozali kembali memberi sentuhan kepada karya susulan, Qodrat 2.
Namun, kejayaan filem pertama memberi cabaran besar buatnya dalam penghasilan sekuel berkenaan.
Masih mengekalkan elemen seram, Qodrat 2 yang diterajui Vino G Bastian dan Acha Septriasa bagaimanapun turut menyelitkan unsur kerohanian.
"Sebetulnya Qodrat 2 adalah filem seram, tetapi kami cuba tawarkan lebih kepada refleksi diri buat watak Azizah.
"Menerusi Qodrat 2, ada babak Azizah tidak mampu menyelesaikan doa iftitah akibat gangguan iblis. Selain satu refleksi, ia juga antara babak menyeramkan," kata Charles yang ditemui pada malam gala filem Qodrat 2, di ibu negara, baru-baru ini.
Memilih Acha menerajui naskhah kali ini, Charles berkata, asalnya mereka belum mempunyai calon membawakan watak Azizah.
Nama Acha terlintas dalam fikirannya bersama empat rakan produksi ketika sesi perbincangan, lantas Charles menghubungi Acha yang kini menetap di Sydney, Australia.
"Acha dilihat pelakon yang paling sesuai dan memenuhi kriteria yang diinginkan sebagai Azizah.
"Isteri Qodrat haruslah seorang yang mampu mengimbangi Vinod G dalam lakonan. Itu antara sebab kenapa kami memilih Acha," katanya.
Qodrat 2 menampilkan penceritaan lebih besar dengan menggabungkan elemen aksi, thriller, seram dan adiwira atau superhero, tetapi tetap menyuntik elemen keagamaan.
Tanpa babak jumpscare berlebihan, Qodrat 2 memaparkan koreografi adegan pertarungan, penggunaan kesan khas yang menjadikan iblis Asu'ala kelihatan menyeramkan, selain emosi menyentuh perasaan antara Qodrat dan Azizah.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, berkata Qodrat 2 membawa aras baharu dalam penghasilan filem seram dengan penceritaan dipersembahkan tidak bergantung semata-mata pada elemen seram dan kejutan, sebaliknya diseimbangkan dengan aksi superhero, emosi dan unsur agama.
"Formula ini diterima baik penggemar filem di Indonesia dan ia dibuktikan dengan pencapaian jumlah pecah panggung.
"Jadi, kami mengharapkan reaksi positif ini memberi rasa teruja dan pengalaman berbeza buat penonton di Malaysia," katanya.
Terdahulu, Qodrat pertama berjaya mencatat kejayaan luar biasa dengan menerima lebih 1.7 juta penonton di Indonesia dan kutipan pecah panggung mencecah RM23 juta.
Lebih membanggakan, Qodrat turut berjaya di pawagam luar negara seperti Malaysia, Singapura, Kemboja, Myanmar dan Vietnam. Tayangan filem Qodrat di Malaysia turut meraih kutipan RM6 juta.
Qodrat 2 mengisahkan Qodrat mencari Azizah yang mengalami depresi kerana menyerahkan keimanan kepada syaitan Asu'ala demi menyelamatkan anak.
Apabila Azizah keluar dari rumah sakit jiwa dan mula bekerja di kilang fabrik misteri, Qodrat tekad ingin menyelamatkan Azizah, meskipun berdepan perangkap iblis. - BH ONLINE
|