RENDANG, ketupat, lemang dan pelbagai juadah lain serta kunjung mengunjungi sehingga sebulan beraya antara tradisi kita ketika tibanya Aidilfitri. Secara amnya, tradisi menyambut hari raya di kalangan masyarakat Islam Asia Tenggara tidak jauh berbeza. Tetapi, bagaimana pula di tempat-tempat lain?
Tradisi ini akan berbeza mengikut tempat, bangsa dan negara. Lain benua, lain pula corak sambutannya. Ini antara tradisi unik sambutan Aidilfitri di beberapa buah negara…
INDIA
Umat Islam di India merayakan Aidilfitri yang mereka sebut sebagai ‘Chaand Raat’ yang bermaksud malam anak bulan. Ia disambut pada malam raya. Mereka akan berkumpul di kawasan lapang yang telah ditentukan untuk menantikan pengumuman hari raya. Lebih kurang seperti masyarakat di Malaysia yang akan berkumpul depan TV untuk dengar pengumuman raya.
Dalam berkumpul itu, mereka juga melakukan aktiviti dengan memakai inai pada kedua belah tangan dan kaki selain saling bertukar buah tangan dan manisan. Ia bagaikan sebuah pesta keramaian.
TURKI
Salah satu tradisi di Turki ialah ‘Seker Bayrami’ iaitu aktiviti yang dilakukan di hujung Ramadan. Ia seperti festival manisan yang menandakan Ramadan sudah pun berakhir. Rumah mereka akan dipenuhi dengan pelbagai manisan. Kanak-kanak juga akan berkunjung ke rumah jiran-jiran untuk meminta manisan dan bersalaman. Ia lebih kurang ‘trick or treat’ yang dilakukan orang Barat sewaktu perayaan Halloween. Selain di Turki, kanak-kanak Islam di Itali juga ada yang melakukan aktiviti ini. Oh ya, suasana raya hanya boleh dirasakan dalam dua tiga hari sahaja. Selepas itu, orang Turki lebih suka pergi bercuti terutama ke kawasan pantai.
CHINA
Orang Islam di China kebiasaannya selepas solat sunat Aidilfitri, mana yang berdekatan akan mengunjungi perkuburan Sayyid Ajjall Shams al-Din Omar (tokoh Islam yang juga gabenor pertama Yunnan yang dilantik oleh kerajaan Mongol). Pengunjung yang datang ke sini akan membaca al-Quran selain membersihkan pusara tokoh tersebut.
AFGHANISTAN
Di Afghanistan, apabila tiba Aidilfitri, orang dewasa akan bermain salah satu permainan tradisi mereka yang dikenali sebagai ‘Tokhm-Jangi’. Biasanya permainan ini dimainkan kanak-kanak lelaki. Namum bila tiba hari raya, golongan lelaki dewasa akan turut memainkannya.
Secara asasnya, permainan ini lebih kurang seperti laga telur. Setiap keluarga akan merebus telur dalam jumlah yang banyak dan diwarnakan dengan warna warni. Selepas berakhirnya ‘perang telur’ ini, pemenang ditentukan menerusi siapa yang mempunyai baki telur paling banyak. Daripada segi makanan pula, Jelabi, Shor-Nakhod dan Cake wa Kolcha merupakan hidangan wajib ada dalam rumah mereka bila tiba hari raya.
PAKISTAN
Orang Islam Pakistan pula akan memastikan manisan tradisi nenek moyang mereka iaitu ‘sheer khurma’ menjadi hidangan wajib ada bila tiba hari raya. Ia merupakan buah kurma yang dimasak bersama campuran susu, mentega dan suhun.
RUSIA
Masyarakat Islam di Rusia juga meraikan Aidilfitri. Lebih kurang sama dengan kita, mereka akan menyediakan hidangan istimewa untuk keluarga di pagi raya. Salah satu yang unik, kanak-kanak akan pergi dari rumah ke rumah dengan membawa bekas atau beg. Ia akan diisi oleh pelbagai manisan oleh tuan rumah. Manakala di Dagestan pula, tradisinya juga unik apabila telur berwarna warni wajib ada dalam hidangan mereka di hari raya. Ia adalah telur rebus yang dihias dengan pelekat pelbagai warna. Dagestan merupakan sebuah negeri dengan kuasa autonomi dalam persekutuan Rusia.
|